Astro AWANI merangkul dua lagi anugerah dalam malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2016.

Kedua-dua anugerah diraih oleh Editor Eksekutif Kamarul Bahrin Haron dalam kategori Wartawan TV Terbaik dan Pengacara TV Terbaik.

Setelah memenangi anugerah tersebut, Kamarul berkata kejayaan itu bukan hanya bagi diri beliau malah buat seluruh warga kerja Astro AWANI.

"Kemenangan ini juga didedikasikan kepada pengikut setia kami dan juga rakyat Malaysia," kata Kamarul.

Beliau memenangi anugerah Wartawan TV Terbaik menerusi temubual eksklusif beliau bersama Presiden Indonesia Joko Widodo.

Bagi kategori Pengacara TV Terbaik, Kamarul memenanginya menerusi rancangan khas Setahun MH370.

Pada Jumaat, Penerbit Astro AWANI, Azlinda Md Salim menerima Anugerah Khas Juri menerusi laporan Syawal Tanpamu' pada majlis anugerah yang sama.