Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menjalankan risikan bagi mengesan dua suspek yang disyaki menembak mati Dr Fadi Mohammed Al Batsh, imam dan pensyarah dari Palestin, pada Sabtu lepas.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata mereka yang terlibat dengan kes pembunuhan itu perlu dibawa ke muka pengadilan.

"Kita tidak akan memberi kelebihan kepada sesiapa yang melanggar undang-undang di negara ini serta ambil kesempatan daripada insiden ini.

"Jangan sensasikan kejadian ini, biar PDRM jalankan siasatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Laloh di sini, pada Selasa.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Ab Rahman yang dipilih sebagai calon BN bagi Parlimen Kuala Krai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin menegaskan bahawa insiden pembunuhan itu tidak menjejaskan keselamatan negara yang kini berada di tahap terbaik.

"Anggota polis dan tentera kita sudah menjalankan amanah dengan amat baik selama ini dalam menafikan ancaman pengganas Daish yang secara terang-terangan mahu menggugat keselamatan negara," katanya.

Dr Fadi, seorang pensyarah kejuruteraan elektrik, ditembak mati di luar Kondominium Idaman Puteri di Setapak di sini semasa berjalan ke Surau Medan Idaman untuk solat Subuh kira-kira 6 pagi, Sabtu lepas.

Dua lelaki bermotosikal dikatakan menunggu mangsa sebelum melepaskan 10 das tembakan ke arah mangsa berusia 35 tahun itu.

-- BERNAMA