Pas mengesahkan rakaman audio berhubung isu Pas menerima dana dari UMNO itu mengandungi suara Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, Nik Abdul Abduh sendiri mengakui audio itu suara beliau tetapi apa yang dicanang pembangkang tidak seperti dimaksudkan.

"Audio itu kalau mengikut ustaz Nik Mohamad Abduh memang audio beliau. Tetapi rakaman itu sepatutnya didengar dari awal hingga akhir bagi mengetahui keseluruhan kandungannya," katanya.


Terdahulu, isu rakaman audio yang didakwa mengandungi suara Nik Mohamad Abduh kembali timbul selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyelesaikan saman terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown di luar mahkamah pada awal bulan ini.

Takiyuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rakaman audio berkenaan.

Sebelum ini dalam satu ceramah, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyentuh mengenai rakaman audio itu yang menyatakan berlaku pengkhianatan pihak tertentu yang menyebarkannya.

Sebelum ini Nik Mohamad Abduh menafikan suara itu adalah dirinya selain menyifatkan ia sebagai fitnah.