Australia lulus ekstradisi Sirul

Australia lulus ekstradisi Sirul
Menurut sumber The Guardian, kerajaan Malaysia baru-baru ini mengadakan perbincangan dengan kerajaan Australia untuk meminta Sirul dibawa balik ke Malaysia. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Australia telah meluluskan permintaan dari Malaysia untuk mengekstradisi bekas Unit Tindak Khas (UTK), Sirul Azhar Umar yang disabitkan dengan pembunuhan berprofil tinggi wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 20 Oktober 2006.

Menurut sumber The Guardian, kerajaan Malaysia baru-baru ini mengadakan perbincangan dengan kerajaan Australia untuk meminta Sirul dibawa balik ke Malaysia.

Ia juga difahamkan mendapat lampu hijau selepas Malaysia bersetuju untuk menampung kosnya selain dipercayai Sirul akan meninggalkan Australia dalam tempoh sebulan.

Laporan The Guardian itu turut dikongsi Menteri Tenaga Manusia, M. Kulasegaran di laman Twitternya pada Jumaat.

Pada 23 Ogos 2013, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara membebaskan Sirul sebagai tertuduh kedua dan bekas anggota unit selam tempur UTK, Azilah Hadri (tertuduh pertama) selepas berpuas hati bahawa tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009.

BACA: 'Siasat semula kes bunuh Altantuya!'

BACA: 
Sirul sedia dedah perkara sebenar pembunuhan Altantuya

Bagaimanapun pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kedua-dua tertuduh berkenaan  selepas membenarkan rayuan pendakwa raya dalam kes itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Tertuduh didakwa membunuh wanita kelahiran Ulan Bator berusia 28 tahun itu antara jam 10 malam, 19 Oktober dan jam 1 pagi, 20 Oktober 2006 di Bukit Raja, Klang.