#AwaniJr: AWANI Junior buka jalan pelajar bina haluan kerjaya

#AwaniJr: AWANI Junior buka jalan pelajar bina haluan kerjaya
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang optimis program Awani Junior anjuran Astro AWANI mampu memberikan impak positif kepada pelajar. - Foto Astro AWANI
KUALA TERENGGANU : Kerajaan Negeri Terengganu sedia menjalinkan kerjasama dengan Astro AWANI ke arah memperkasakan lagi pendidikan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang optimis program Awani Junior anjuran Astro AWANI  mampu  memberikan impak positif kepada pelajar.

Menurut A. Latiff, pendekatan yang dilakukan Astro AWANI bukan sahaja mencabar kebolehan pelajar malah boleh dijadikan sebagai landasan kerjaya.
"Ini satu program yang tambah nilai untuk diberi kemahiran kepada pelajar-pelajar kita supaya dia lebih efektif sebagai seorang pelajar yang mana mereka akan boleh selepas mereka keluar daripada alam pendidikan mereka boleh juga boleh dijadikan sebagai satu bidang kerjaya mereka.

"Jadi kita terima kasih kepada AWANI kerana memilih Terengganu dan juga sekolah-sekolah yang ada pusat sumber sekolah supaya terlibat dalam program ini," katanya pada Khamis.

Tambah A.Latiff pihaknya turut bersedia memperluaskan  lagi program AWANI Junior ini bagi melahirkan lebih ramai bakat muda dalam bidang penyiaran.

"Kerajaan negeri boleh beri kerjasama dibawah portfolio pendidikan untuk kita kembangkan khususnya dari segi PSS (Pusat Sumber Sekolah) sebab di sekolah-sekolah hari ini memang kita ada unit media sekolah sendiri yang mana melatih para pelajar menjadi seorang pemberita, wartawan dan pengacara.

"Yang ini kita nak pelajar-pelajar  ikta yang kita katakan sebagai generasi Terengganu baharu ini jadi program ini kita kerajaan negeri sangat mengalu-alukan."

Setakat ini 412 buah sekolah seluruh Terengganu  menyumbangkan hasil karya mereka  dalam bentuk video untuk dipaparkan di laman web Astro AWANI dan televisyen.