Menjadi lumrah kepada manusia yang ingin mendapatkan sesuatu produk yang mempunyai promosi sekali gus dapat menjimatkan wang.

Namun, bagi Perunding Keselamatan Makanan, Mohd Soffian Osman, promosi tersebut tidak boleh diguna pakai untuk susu bayi.

Jelasnya, harga susu bayi adalah mengikut piawai berdasarkan kandungan zat dan vitamin dalam susu tersebut.

"Saya galakkan kepada pengguna untuk membeli susu bayi di rangkaian kedai yang terkenal yang mana mereka (penjual) mendapat bekalan daripada pembekal-pembekal di pasaran.

"Ini kerana pembekal akan mendapatkan bekalan daripada pengeluar susu yang pastinya mereka mempunyai prosedur rapi dalam memilih pembekal kepada pasaraya dalam menjamin kualiti pengguna.

"Jika ibu bapa mendapat tawaran murah secara dalam talian atau kawan-kawan, saya nasihatkan mereka lihat betul-betul kepada produk yang dibeli termasuk dari segi pembungkusan atau pelabelan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Justeru, beliau menasihati ibu bapa untuk mendapatkan maklumat terkini daripada laman web syarikat pengeluar untuk mengetahui infomasi termasuk dari segi pembungkusan dan penanda asli seperti hologram dan sebagainya.