Awas! Kaki ponteng puasa, anda diperhati

Awas! Kaki ponteng puasa, anda diperhati
Mohamad Naem (empat, kiri) berbual dengan guru agama SK Jemerli dari kiri: Ahmad Shahabudin Ibrahim manakala Guru Besar SK Jemerli Khairul Amran Abu Bakar (lima, kiri). - Foto Sinar Harian
BALING: Pejabat Agama Islam Baling bersiap sedia melakukan serbuan di beberapa kawasan tumpuan kaki ponteng puasa sepanjang Ramadan akan datang.

Pegawai Agama Islam daerah Baling, Mohamad Naem Awang berkata, beberapa kawasan tumpuan sekitar Baling telah dikenal pasti.

Menurutnya, pihaknya juga akan sentiasa melakukan pemantauan sepanjang Ramadan.
“Dalam masa sama, kita juga sedang merancang menguatkuasakan undang-undang dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Negeri dan Majlis Daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Surau Al- Mukhlisin dan Ceramah Israk & Mikraj di Sekolah Kebangsaan Seri Jemerli, di sini semalam.

Menurutnya, sebagai umat Islam, seseorang itu tidak wajar mengabaikan perintah agama.

“Ia peraturan daripada ALLAH, umat Islam sepatutnya mematuhi perintah berpuasa di siang hari ketika Ramadan.

“Sekalipun tidak berpuasa, hormatilah orang-orang yang berpuasa,” katanya.