Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kulim berjaya menyelesaikan kes serangga berbisa melebihi 150 aduan sepanjang pertengahan tahun ini.

Pegawainya, Leftenan Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, kes aduan serangga berbisa melibatkan lebah dan tebuan paling banyak diterima iaitu kira-kira 30 kes setiap bulan.

Menurutnya, aduan berkaitan serangga berkenaan akan meningkat lagi terutama ketika musim kemarau.

"Kebiasaannya kita akan bantu pengadu memusnahkan sarang lebah dan tebuan di pokok dan juga kediaman yang sudah pasti membahayakan nyawa orang ramai.

"Namun kita juga perlu mengambil kira faktor cuaca untuk melakukan operasi tersebut, jika hujan operasi terpaksa ditangguhkan," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, seramai empat anggota akan terlibat dalam operasi ini dan perlu memakai pakaian khas sebagai langkah keselamatan.

"Kita akan hantar empat orang anggota ke lokasi, memantau keadaan sarang serangga tersebut sekiranya keadaan terlalu membimbangkan kita akan jalankan operasi segera.

"Kebiasaannya kita akan lakukan di waktu malam kerana sifat serangga ini yang kurang aktif di waktu malam," katanya.

Guna teknik yang betul

Mohd Fadhil berkata, penentuan teknik yang betul untuk memusnahkan sarang serangga terbabit juga amat penting supaya ia tidak mendatangkan sebarang kemudaratan kepada anggota dan orang sekeliling.

"Sekiranya kedudukan sarang serangga terbabit di atas pokok kita akan menggunakan sebatang galah besi khas yang boleh di laraskan ketinggiannya sehingga boleh mencapai sembilan meter.

"Bagi kedudukan sarang lebah yang berada di dalam rumah atau di kawasan bangunan kediaman kita menggunakan teknik semburan racun serangga," katanya.

Menurutnya, anggota yang terlibat dalam operasi ini juga terlatih dan akan memberi penerangan terlebih dahulu mengenai prosedur kepada pengadu.

"Sebelum menjalankan operasi memusnahkan sarang serangga terbabit kita juga akan menerangkan prosedur kepada penghuni atau penduduk setempat.

"Penerangan ini penting supaya tidak ada orang awam berada di dalam rumah dan sentiasa berada di kedudukan yang selamat iaitu kira-kira 100 meter dari sarang terbabit bagi mengelakkan dari berlaku perkara yang tidak diingini," katanya.

Berdepan ancaman bahaya

Pun begitu, Mohd Fadhil berkata, anggota bertugas turut berdepan ancaman dari serangga itu. Katanya, walaupun sudah berpakaian keselamatan untuk operasi memusnah, ada kalanya mereka turut disengat tanpa sedar.

"Kita sudah pakaian lengkap, tapi bila kita nak tukar baju masih ada saki baki serangga yang melekat dan secara tak langsung akan disengat.

"Perkara ini sudah lumrah sebagai anggota keselamatan, apa yang perlu dibuat kita akan berikan rawatan awal seperti menyapu ubat khas sebelum dirujuk ke hospital atau klinik," katanya.

Mohd Fadhil berkata orang awam juga dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri memusnahkan sarang serangga berbisa seperti lebah atau tebuan kerana jika tersilap langkah ia akan mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

"Walaupun sarang kecil sahaja, namun ia boleh mendatangkan bahaya sekiranya tidak memakai pakaian yang sesuai.

"Sebaiknya jika orang ramai melihat kedudukan sarang serangga itu mendatangkan bahaya kepada orang ramai mereka boleh menghubungi pihak anggota penyelamat seperti APM atau Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya.