Penduduk di kawasan selatan Sarawak dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan berkaitan jerebu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Jamilah Hashim berkata, antara langkah tersebut termasuklah mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah dan cuba berada di dalam bangunan.

"Penduduk juga dinasihatkan banyak minum air iaitu sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi badan.

"Pada masa yang sama, gunakan penutup muka atau face mask apabila melakukan aktiviti luar rumah," katanya dalam satu kenyataan.

Jamilah turut menasihatkan mereka yang terjejas jerebu agar kerap membasuh muka dan bahagian badan yang terdedah kepada partikel tersebut.

"Bagi yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, dan jangkitan paru paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan segera jika penyakit bertambah teruk

"Mereka yang menggunakan kenderaan yang berhawa dingin pula hendaklah menghidupkan alat pendingin hawa dengan mod kitaran dalam dan menutup tingkap," katanya.

Pemandu kenderaan pula, tambahnya, dinasihatkan untuk menyalakan lampu bagi pemanduan selamat.

Berdasarkan pemantauan terhadap Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), didapati bahawa beberapa bahagian di selatan Sarawak sedang mengalami kualiti udara pada tahap Tidak Sihat dan Sangat Tidak Sihat, terutamanya di bahagian Kuching.

Ibu negeri Sarawak itu telah mencatatkan bacaan IPU melebihi 200 bermula pada 6 pagi 7 September lalu dan keadaan ini dijangka akan berterusan.

Terdahulu hari ini, tiga kawasan mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat, iaitu Kuching pada 232, Sri Aman 229 dan Samarahan 213 setakat pukul 8 pagi.

Pesan Dr Jamilah kepada orang ramai, sekiranya mengalami tanda dan gejala penyakit berkaitan jerebu seperti mata berasa pedih dan berair, gatal kerongkong dan kerap batuk, hidung berair dan kerap bersin, sukar bernafas atau sesak nafas atau sakit dada, dan kulit badan berasa gatal, segeralah pergi mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran.