Tutup

'Ayah Chik' tak mahu masuk Kabinet

'Ayah Chik' tak mahu masuk Kabinet
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed hanya menyentuh hubungan persekutuan dan negeri serta kepentingan Islam. - Astro AWANI / Shahir Omar
MARANG: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed hanya menyentuh hubungan persekutuan dan negeri serta kepentingan Islam.

Ia sekali gus menangkis dakwaan dan spekulasi bahawa pertemuan itu sebagai cubaan mengubah lanskap politik negara.

Abdul Hadi juga berkata hal kerajaan Pakatan Harapan bukan urusannya dan tidak berhasrat untuk masuk dalam Kabinet.

“Saya jumpa dia masa dia jadi Perdana Menteri, juga masa dulu tahun 90an termasuk semasa beliau tidak jadi perdana menteri. Saya pernah jumpa dan ziarah dia di hospital. Tidak ada apa-apa kepentingan begitu juga.
“Jumpa bukan nak masuk Kabinet. Tak perlu runsing, tidak minta masuk kerajaan. Kita minta hal lain, hal negeri yang kita perintah sahaja. Kita tak campur urusan lain dan tak ada hasrat nak masuk PH,” katanya.

Sebelum ini, timbul spekulasi pertemuan Abdul Hadi dan Dr Mahathir adalah bagi membincangkan strategi bagi mengubah lanskap politik negara.
Mengulas hal itu, Dr Mahathir berkata beliau sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk parti pembangkang jika ia memberi kebaikan kepada negara.

Sementara itu, Abdul Hadi juga bertegas beliau sedia Berjumpa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika ada keperluan.

“Saya berjumpa dengan orang apabila perlu. Kalau tak perlu, saya tak jumpa. Saya anggap perlu, baru saya jumpa.

“Kalau tak perlu, saya tak jumpa dengan siapa-siapa pun dan saya berjumpa dengan semua Perdana Menteri,” katanya.

Pada Khamis, Anwar berkata beliau juga tiada masalah untuk berjumpa sesiapa sahaja.