Ayob Khan dedah terima ancaman bunuh daripada Daish

Ayob Khan dedah terima ancaman bunuh daripada Daish
Menurut Ayob Khan, ugutan bunuh yang diterima disebabkan penangkapan anggota kumpulan pengganas Daish di negara ini. - Gambar SINAR HARIAN
SHAH ALAM: Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan, beliau bukan sahaja menerima ugutan bunuh daripada anggota kumpulan pengganas Daish Malaysia, malah turut ugutan anggota kumpulan itu dari Indonesia.

Katanya, ugutan yang diterima oleh beliau disebabkan penangkapan anggota kumpulan pengganas itu di negara ini.

"Sebenarnya bila bertugas sebagai polis, pelbagai cabaran perlu dilalui. Salah satu cabarannya ialah ugutan. Ini bukan berkaitan saya sahaja tetapi boleh tanya anggota atau pegawai di mana-mana bahagian polis memang kita biasa dengan ancaman dan ugutan ini.

"Dalam konteks pengganas ini, saya sudah lama terlibat dengan operasi-operasi memerangi militan tetapi kalau dibandingkan dengan kumpulan terdahulu, mereka tidak agresif dan berdendam seperti Daish.

"Apabila kita tangkap ahli kumpulan Daish ini, saya banyak mendapat ancaman bunuh ini dan salah seorang yang mengatur serta merancang untuk membunuh saya ini ialah anggota mereka daripada Melaka yang berhijrah ke Syria dan dia pun sudah terbunuh.

"Sebelum ini dia telah arahkan anggota Daish Malaysia untuk melancarkan operasi pembunuhan terhadap saya, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan beberapa pemimpin negara," katanya pada program Sinar Live di Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.

Menurutnya, ugutan dan ancaman daripada anggota kumpulan pengganas merupakan perkara biasa yang perlu dihadapi dan beliau perlu lebih berhati-hati.

"Sebagai contoh pergerakan saya dan keluarga agak terhad. Mereka telah merancang, mahu melaksanakan dan mampu laksanakan kerana pada mereka polis ini penyokong kerajaan yang tidak beriman kepada ALLAH dan perlu dihapuskan," katanya.

Jelasnya, wujud perbezaan ketara antara Daish dengan kumpulan-kumpulan pengganas sebelum ini ialah mereka yang terlibat menyokong dan terlibat dengannya terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Kalau kita lihat sebelum ini banyak terlibat mungkin ada latar belakang sekolah agama dan sebagainya tetapi Daish ini datang daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Kita memang menghadapi kesukaran untuk memberikan penjelasan kepada umum. Sebagai contoh apabila polis beri penerangan dalam konteks ideologi tentang salafi jihadi, ada yang tidak bersetuju dan tokoh-tokoh agama juga tidak bersetuju dengan kata ini tidak betul," katanya.


Tag: Ayob Khan terima ugutan bunuh, kumpulan pengganas Daish, Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay, Daish Malaysia



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.