Datuk Seri Azalina Othman Said melahirkan rasa sedih atas kejadian letupan dan kebakaran yang berlaku di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Kota Tinggi, hari ini.

Anggota Parlimen Pengerang itu yang mengakui terkejut dengan kejadian itu berkata beliau bersyukur insiden itu dapat dikawal.

Katanya, pemaju projek Petronas juga sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar dan memberikan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

"Isu keselamatan pekerja dan tempat kerja sememangnya perlu sentiasa diutamakan dan saya ucapkan terima kasih kepada Petronas yang telah bertindak pantas dalam pengurusan bencana kemalangan seperti ini," katanya dalam kenyataan, di sini.

Azalina berkata beliau berharap insiden seumpama itu tidak berulang kerana projek gas dan minyak ini sememangnya berdepan pelbagai risiko kemalangan.

"Oleh itu, kerajaan persekutuan dan negeri perlu menjalankan tanggungjawab bersama dalam hal ehwal impak alam sekitar serta memastikan keselamatan bukan sahaja terhadap pekerja di Kompleks Bersepadu Pengerang malah termasuk juga para penduduk di sekitarnya," kata beliau.

Kejadian kira-kira 1.20 pagi tadi menyebabkan dua warga tempatan cedera dan telah dirawat sebagai pesakit luar di Pusat Kecemasan Perubatan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah kejadian berlaku di satu daripada lot tapak projek RAPID dalam PIC.