Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berjaya mendapatkan perintah tahanan reman terhadap Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, abangnya dan seorang saudara mereka.

Ketiga-tiga mereka yang tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya kira-kira jam 10.30 pagi tadi disambut laungan "Hidup BN" daripada penyokong yang berhimpun di situ.

Mereka ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah berhubung kontrak Tabung Haji.

Mereka diwakili empat peguam yang diketuai Devanandan Subramaniam.


Laporan media sebelum ini menyebut nilai rasuah yang disiasat bernilai jutaan ringgit namun nilai sebenar masih belum diketahui.

Abdul Azeez yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) ditahan kira-kira pukul 11 pagi semalam selepas hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Ia diikuti penahanan abangnya, seorang pengurus besar sebuah syarikat 15 minit selepas itu, dan saudara mereka malam tadi.