Tutup

Aziz Bari sedia jika digugurkan sebagai Exco

Aziz Bari sedia jika digugurkan sebagai Exco
ABDUL AZIZ: Sepanjang yang saya tahu, tidak akan ada perubahan. Kedudukan tetap status quo. Kita semua mewakili parti. Jika kita diarahkan pergi, kita pergi. --fotoBERNAMA/Fail
IPOH: Naib Pengerusi DAP Perak Dr Abdul Aziz Bari bersedia jika digugurkan daripada barisan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) Perak.

Pengerusi Jawatanakuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar negeri itu berkata sehingga hari ini beliau tidak mempunyai sebarang maklumat jika bakal dikekalkan atau sebaliknya.

"Ia merupakan tanggungjawab Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) dan barisan kepimpinan Pakatan Harapan untuk menyelesaikan isu tersebut.

"Saya tidak boleh bercakap apa-apa mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita selepas program memasak bubur lambuk anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini, hari ini.
Menurut Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu, sepanjang pengetahuannya tidak mungkin akan berlaku pertukaran Exco.

"Sepanjang yang saya tahu, tidak akan ada perubahan. Kedudukan tetap status quo. Kita semua mewakili parti. Jika kita diarahkan pergi, kita pergi. Kita merupakan pemain satu pasukan," tambah beliau.
Terdapat ura-ura menyatakan Abdul Aziz akan digantikan dengan ADUN Sungai Manik dari Parti Pribumi Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Nama lain turut disebut-sebut mungkin digugurkan adalah Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari dari PKR yang dikatakan akan diganti dengan ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

-- BERNAMA