Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun dilantik sebagai pengerusi baharu Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkuat-kuasa 1 Mei.

Watikah pelantikan disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad secara dalam talian, pada Jumaat.

Beliau menggantikan bekas pengerusi Mara, Dr. Hasnita Hashim yang pernah menjadi pengerusi Maybank Asset Management Group dan ahli lembaga pengarah Maybank Banking Berhad.

Selain Azizah, empat lagi pengerusi baharu turut dilantik mengetuai agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Mereka adalah Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, yang dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (Kesedar).

Sementara, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Sharif sebagai pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda); dan Adun Permas Che Zakaria Mohd Salleh selaku pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Johor Tenggara (Kejora).

Selain itu, Ahli Dewan Negara Razali Idris pula dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Terengganu Tengah (Ketengah).

Menurut Abd Latiff dalam satu kenyataan, pelantikan tersebut dibuat setelah mengambil kira keupayaan kepimpinan, pengalaman dan sumbangan mereka kepada rakyat, selain mendapat persetujuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tempoh lantikan adalah bagi dua tahun iaitu bermula 1 Mei 2020 sehingga 30 April 2022.