Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan 11 portfolio Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Rabu selepas 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah lantikan di Istana Alam Shah Isnin lalu.

Menteri Besar memegang porfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kewangan, Pembangunan Tanah dan Pengurusan Sumber Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor dan Komunikasi Strategik.

"Porfolio ini telah dipersetujui semua selepas mengangkat sumpah kerahsiaan kerajaan negeri. Pelantikan itu juga dibuat mengikut keupayaan dan pengalaman Exco-Exco yang dilantik," jelasnya.

Bagi portfolio Pengerusi Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dipegang Datuk Teng Chang Khim, ADUN Bandar Baru Klang (DAP).

Amiruddin Shari, ADUN Sungai Tua (PKR) diberi kepercayaan sekali lagi untuk memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi.

ADUN Kota Kemuning (DAP), Ganabatirau Veraman yang juga dilantik untuk kali kedua sebagai Exco memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani dipegang ADUN Pandan Indah, Ir Izham Hashim.

Bagi portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan dipegang Datuk Abdul Rashid Asari, ADUN Selat Kelang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi dipegang Dr Shaharuddin Badaruddin, ADUN Seri Setia (PKR).

Portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru dipegang Ng Sze Han, ADUN Kinrara (DAP).

ADUN Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar manakala Dr Siti Mariah Mahmud, ADUN Seri Serdang (Amanah) bagi portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga.

Akhir sekalil Hee Loy Sian, Adun Kajang (PKR) memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna.