Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa China, Jepun dan Korea Selatan menjalin kerjasama lebih erat dengan negara anggota ASEAN dalam membangunkan vaksin COVID-19.

Beliau berkata Korea Selatan dan China, yang telah maju dalam ujian percubaan vaksin, perlu juga menimbang membenarkan negara anggota ASEAN menghasilkan vaksin bagi mengurangkan kos dan memastikan ia sentiasa ada tersedia serta mempercepatkan usaha ASEAN untuk menjadi rantau bagi inovasi bioteknologi.

Mohamed Azmin juga menggesa ASEAN menimbang mengambil langkah secara bersama-sama untuk mendapatkan vaksin bagi meningkatkan peluang bekalannya tersedia di rantau ini.

"Dengan mendapatkan sumber secara bersama-sama, kita akan mempunyai kapasiti dan keupayaan mencari penyelesaian jangka panjang dan berkekalan (untuk memerangi COVID-19)," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mewujudkan sinergi dan perpaduan adalah kunci kepada kejayaan dalam perjuangan membendung penularan pandemik ini.

Menurutnya, Malaysia mengguna pakai pendekatan bersasar dalam menguji kes COVID-19 dengan menumpukan kepada kluster jangkitan serta mengenal pasti kawasan dengan kadar jangkitan tinggi dan mengesan serta menguji kontak rapat mereka.

Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN+3 (AEM+3) terdiri daripada China, Jepun dan Korea Selatan perlu mengembangkan skop kerjasama dengan perpaduan, visi dan kepimpinan, katanya.

Mohamed Azmin berkata sokongan daripada sektor swasta penting dalam merangsang inisiatif yang diambil kerajaan bagi menangani impak daripada pandemik tersebut bukan hanya kepada komuniti perniagaan tetapi juga kepada kehidupan dan mata pencarian penduduk di rantau ini.

"Kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta adalah manifestasi tema ASEAN tahun ini, iaitu untuk bertindak secara 'padu dan responsif' dalam menangani cabaran," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia sedang dalam proses membangunkan kit ujian antigen kuantitatif bagi mengesan paras antibodi seseorang individu terhadap virus yang menyebabkan jangkitan COVID-19.

Terdahulu, Mohamed Azmin menghadiri Mesyuarat Persidangan Maya Khas AEM+3 mengenai Respons COVID-19 yang dihoskan oleh Vietnam.

-- BERNAMA