Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digesa menjelaskan mengenai dakwaan bahawa beliau meluluskan penukaran status tanah pertanian kepada kawasan pembangunan di kawasan Paya Indah Wetland, Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat, Selangor.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata sekiranya dakwaan tersebut tidak benar Mohamed Azmin harus mengambil tindakan undang-undang.

"Yang mendedahkan perkara ini adalah anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) seumur hidup dan bukannya UMNO, sekiranya UMNO mungkin akan dituduh sebagai konspirasi dan pelbagai tuduhan lain.

"Justeru beliau (Mohamed Azmin) perlu menjelaskan perkara ini, kalau ini fitnah beliau boleh ambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mendedahkannya," katanya kepada pemberita selepas mengadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anggota Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini, pada Selasa.

Semalam, Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin memuat naik satu kenyataan terbuka mendakwa bahawa Mohamed Azmin melalui satu mesyuarat telah meluluskan penukaran status tanah tersebut dari pertanian (terhad) kepada kawasan pembangunan.

Badrul Hisham atau dikenali sebagai Chegubard mendakwa penukaran status tanah di kawasan Paya Indah Wetland yang diisytiharkan warisan dunia itu akan menyebabkan alam sekitar terjejas dan sekali gus mengganggu ekosistem dunia.

Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor meminta pihak yang mendedahkan perkara itu membuat laporan kepada pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tindakan wajar dapat diambil.

"Kalau sekadar dedah sahaja dan tidak buat laporan tidak ada makna. Saya juga nak minta SPRM mestilah mengambil tindakan segera dengan membuat siasatan sekiranya laporan telah dibuat," katanya.