Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak perlu didesak untuk bercuti daripada menjalankan tugas dalam parti dan kerajaan.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, desakan itu tidak akan memberi kesan positif kepada kepimpinan parti dan negara.

Sebaliknya, menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, tindakan tersebut hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

"Saya tidak bersetuju untuk mendesak Mohamed Azmin berehat sebagaimana diminta pihak tertentu, termasuk Otai Reformasi," kata Anwar merujuk kepada sebuah badan bukan kerajaan yang hari ini dilaporkan menggesa Putrajaya merehatkan Mohamed Azmin daripada tugasnya sebagai menteri.

Gesaan itu timbul susulan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu terbabit dalam kes video intim yang didakwa mengandungi aksi seks luar tabii, bersama seorang lelaki.

"Bahkan, perkara itu juga tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik PKR," tegas Anwar menurut laporan Bernama.

"Kita sebenarnya tidak melarang orang hendak mengkritik kerana parti ini mengamalkan budaya politik bebas. Setiap pandangan boleh dikemukakan.

"Tetapi, nasihat saya ialah, kurangkan beri kenyataan dan beri laluan untuk siasatan yang sedang dijalankan," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Parlimen Hang Tuah Jaya, di sini, hari ini.

Majlis diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, dengan dihadiri Timbalan Menteri Industri Utama yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ditanya adakah kontroversi membabitkan Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR, turut memberi kesan kepadanya, Anwar berkata, dalam politik segala tohmahan sudah biasa dilaluinya sejak dahulu.

"Politik ini, segala tohmahan sudah 20 tahun saya lalui. Saya tengok dalam lingkungan parti ini ia terlalu kecil. Mungkin (tohmanan) ini orang tiada kedudukan, tewas dalam pertandingan," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial, video lucah tersebut serta dakwaan kononnya sejumlah wang sebuah syarikat telah disalurkan ke akaun milik menteri itu.

Bagaimanapun, bank terbabit, Malayan Banking Bhd telah menjelaskan bahawa dokumen nasihat pemindahan dana yang tersebar dalam talian, berhubung dakwaan tersebut, adalah palsu.

Syarikat itu juga, UEM Group Berhad telah menafikan ia terlibat dalam dakwaan pemindahan wang itu sambil menegaskan ia tidak memiliki akaun dengan nombor yang tertera seperti dakwaan.