BAKAL menimang cahaya mata ketiga bulan depan, seniman tersohor tanah air, Datuk Jamal Abdillah, memilih nama Azura Yamani untuk puterinya.

Mendedahkan perkara itu, penyanyi yang berusia 60 tahun itu berkata, pemilihan Azura Yamani terlalu istimewa kerana nama itu mempunyai signfikan yang cukup besar dalam kerjaya seninya.

"Apabila orang nampak saya, mereka jerit nama Azura. Begitu juga kalau saya mengadakan persembahan, lagu Azura juga yang dipinta peminat, sedangkan saya mempunyai banyak lagi dendangan lain.

"Boleh dikatakan, nama ini kuat 'melekat' di minda, membuatkan saya mengabadikannya untuk bayi perempuan kami nanti," katanya seperti dilaporkan portal Berita Harian.

Julai lalu, Jamal yang cukup masyhur dengan lagu Kekasih Awal dan Akhir mengumumkan bakal menerima kehadiran orang baharu apabila isterinya, Datin Zai Izatti Khiruddin, 25, hamil enam bulan.

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 1 April 2017 dan Zai Izatti pernah keguguran sebanyak tiga kali.

Jamal juga menerusi perkahwinan sebelum ini mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13 tahun.

Selepas kali terakhir menimang anak sekitar 13 tahun lalu, legenda seni tanah air itu berkata, beliau bersedia untuk menguruskan bayi kecil.

Portal berkenaan juga melaporkan, isteri Jamal dijangka melahirkan bayi mereka di sebuah pusat perubatan di Shah Alam, Selangor.