Kerajaan hari ini memutuskan untuk membenarkan semula operasi pusat spa, pusat kesihatan dan pusat urut kaki, bagi merancakkan semula kegiatan ekonomi dalam negara ini.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, turut dibenarkan beroperasi semula di bawah sub-sektor pelancongan itu ialah Meetings, Incentives, Conventions & Exhibitions (MICE), dan pameran perdagangan dan pelancongan.

Bagaimanapun, ujar beliau lagi, pihak pengurusan perlu memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan bagi memastikan usaha mengekang penularan COVID-19 berterusan.

“Operasi Spa, Wellness dan Pusat Urut Kaki perlu mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN and KKM seperti pendaftaran dan pemeriksaan suhu badan, pemakaian pelitup muka dan penyediaan hand sanitizer.

Walau bagaimanapun, hanya pekerja warga negara Malaysia sahaja dibenarkan untuk berkerja. Mereka juga perlu menjalani saringan COVID-19 sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Bagi aktiviti MICE, Ahli Parlimen Bera itu berkata, hanya 250 orang dibenarkan pada satu-satu masa, dan semua pengunjung perlu memuat turun aplikasi MySejahtera bagi urusan pendaftaran masuk dan pemantauan.