Badan Peguam memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presidennya, Steven Thiru berkata dalam permohonan itu, Majlis Peguam mahu agar keputusan Apandi Ali yang 'membersihkan' Najib daripada sebarang pertuduhan pada 26 Januari lalu diketepikan.

"Badan peguam mahu mahkamah menghalang Peguam Negara daripada membuat sebarang keputusan lanjut berhubung perkara itu, selain membenarkan Peguam Cara Negara memutuskan hal berkenaan, termasuk sama ada mendakwa Najib atau tidak.

"Badan Peguam juga memohon perintah mahkamah membenarkan SPRM meneruskan siasatan dalam kes yang diarah tutup oleh Apandi sebelum ini," kata dalam satu kenyataan hari ini.

Keputusan memfailkan permohonan itu dibuat berdasarkan pendapat bahawa kuasa pendakwaan berdasarkan budi bicara Peguam Negara mengikut Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan tidak bersifat mutlak atau tidak terbatas.

Pengamalan kuasa ini boleh dicabar melalui semakan kehakiman.

"Perkara ini melibatkan dakwaan serius sumbang kewangan termasuk dakwaan kerugian dana awam, dan mempunyai implikasi yang buruk kepada pentadbiran keadilan.

"Oleh itu perlu diselesaikan dengan cara yang selaras dengan prinsip-prinsip kedaulatan undang-undang." katanya lagi.

Beliau pada masa sama mahu agar kebebasan SPRM dalam melaksanakan tugas berkanun mengikut Akta SPRM 2009 sebagai agensi penyiasatan dan penguatkuasaan dilindungi.