Badan Peguam Malaysia menggesa kerajaan menunaikan janjinya dan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) tanpa berlengah lagi.

Presidennya, George Varughese berkata penubuhan IPCMC dijanjikan oleh kerajaan yang memerintah dalam manifesto pilihan rayanya dengan menyatakan IPCMC akan ditubuhkan dalam penggal pertama pentadbiran baharu.

"Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yasin pada hari pertama menyandang jawatan pada Mei tahun ini juga menyatakan bahawa kerajaan kerajaan akan menubuhkan institusi berkenaan.

"Penubuhan IPCMC adalah salah satu daripada 125 cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Diraja untuk Meningkatkan Pengurusan Operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laporan yang dikeluarkan pada Mei 2005. Walaupun 13 tahun telah berlalu sejak IPCMC mula dicadangkan, ia masih relevan," kata beliau dalam satu kenyataan pada Sabtu.

IPCMC adalah badan pengawasan polis yang pertama kali dicadangkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menambahbaik pasjukan polis pada 2005.

Badan ini akan berfungsi sebagai organisasi pengawasan bebas dan luaran untuk menyiasat aduan terhadap anggota polis.

George juga berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun baru-baru ini menyatakan bahawa PDRM tidak membantah terhadap penubuhan IPCMC dan telahpun mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.

"Keterbukaanya kepada pengawasan luaran terhadap PDRM adalah perubahan signifikan dan penting daripada pendirian yang diambil oleh ketua polis negara terdahulu dan harus dipuji.

"Badan Peguam Malaysia menggesa pegawai PDRM supaya berani dan melahirkan sokongan dan kerjasama penuh kepada kerajaan bagi penubuhan IPCMC, untuk mengelakkan nama baik PDRM daripada terus tercemar oleh mereka yang melakukan salahlaku," kata beliau.

-- BERNAMA