“Pak Su jatuh... Pak Su jatuh...,” itulah ungkapan saya bersama adik-beradik setiap kali tiba di persimpangan masuk ke kawasan Air Terjun Titi Hayun di Daerah Yan.

Setiap kali kami melalui kawasan terbabit, emak saya pasti akan mengimbau kenangannya terjatuh di lokasi itu ketika mendukung adik bongsunya sewaktu zaman dia dibesarkan di daerah yang memiliki aset semula jadi terpenting negeri Kedah, iaitu Gunung Jerai.

Gunung Jerai merupakan puncak tertinggi di utara Semenanjung Malaysia dan ia menjadi ‘ibu pejabat’ kepada kebanyakan sumber air untuk kebanyakan sungai utama di Kedah.

Di samping menyimpan ribuan kenangan, daerah ini juga terkenal dalam sektor pelancongan.

Air di sini tak pernah kering biarpun berada di musim kemarau - Foto Astro AWANI / Hilal Azmi

Air Terjun Titi Hayun, memang popular dalam kalangan penduduk tempatan malah menjadi lokasi tumpuan aktiviti keluarga.

“Eh ini kampung Hans Yusoff!” Kata saya kepada jurukamera, Khairulazman, ketika melalui Kampung Acheh yang terletak kira-kira lima kilometer dari kawasan peranginan berkenaan.

Selain itu di sepanjang laluan ini juga kita akan dapat lihat Maktab Mahmud, antara sekolah ternama di Kedah.

Sesampainya kami di parkir Air Terjun Titi Hayun, saya mendapati tempat ini tampak lebih kemas dan teratur.

Lokasi yang menjadi tumpuan pelancong luar negara juga kini dilengkapi calet, kiosk jualan, tempat berkelah serta laluan yang lebih sempurna.

Wow! Ternyata situasinya nyata berbeza berbanding lima tahun lalu.

Mercu tanda penting di Titi Hayun ialah jambatan gantung, Tangga Kenari dan Air Terjun Puteri Mandi.

Semuanya kelihatan lebih menarik dan segar seiring keperluan pelancong hutan lipur.

Akan tetapi, bagaimana pula dengan impak pembangunan ini kepada penduduk setempat?

Bagi pengunjung setia Titi Hayun, anda pasti ingat jambatan gantung ini - Foto Astro AWANI / Hilal Azmi

Rata-rata peniaga amat berpuas hati dengan pengurusan serta pentadbiran di situ biarpun tempat tersebut pernah diancam dengan kejadian penyakit kencing tikus atau leptospirosis.

“Memang dulu pernah jadi dah sekali kes kencing tikus.

“Alhamdulillah, sejak kejadian tu usaha digerakkan melalui Jabatan Hutan, Bahagian Kesihatan, penduduk kampung malah pengunjung untuk memastikan kawasan ini sentiasa bersih.

“Biasalah, bila mai berkelah, depa (mereka) bawa makanan, dah tu bungkusan semua pakai buang merata ja. Mana tikus tak mai?” kata Rosfazli Rosli, 37 tahun.

Bagi Mat Yussof Jusoh pula, pendekatannya sedikit berbeza, dia akan sentiasa mengingatkan pekerjanya untuk menguruskan sisa makanan di kiosk perniagaan dengan kemas.

“Saya dah 20 tahun berniaga kat sini, saya suka dengan cara pihak pengurusan terutamanya Majlis Daerah Yan yang pastikan semua pihak termasuk pengunjung untuk sentiasa jaga kebersihan kat sini,” katanya ringkas sambil mencedok air untuk pelanggannya.

Daerah Yan merupakan antara daerah terkecil di negeri kedah dengan jumlah populasinya hanyalah kira-kira 2.6 peratus daripada keseluruhan populasi Negeri Jelapang Padi ini.

Sementara itu, berikut ialah beberapa ciri pemimpin yang dimahukan rakyat Kedah:

1. Dikenali dan dekat dengan rakyat
2. Sentiasa prihatin dengan setiap perkara yang berlaku di kawasan
3. Cepat bertindak
4. Bijak menguruskan hal pentadbiran bagi kemudahan masyarakat.
5. Faham akan kepentingan menjaga alam sekitar dan cara menggalakkan orang ramai menikmatinya dengan penuh berhemah

Untuk Malaysia Memilih 2018, Daerah Yan yang terletak di bawah Parlimen Jerai dijangka berdepan dengan pertembungan tiga penjuru.

Parlimen ini boleh dianggap sebagai sangat unik kerana telah bertukar-tukar pemimpin sejak tiga pilihan raya sebelum ini.