Kerajaan menghormati keputusan Sultan Muhammad V yang meletakkan jawatan sebagai Yang Di-Pertuan Agong pada Ahad.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau sendiri agak sedih dengan keputusan itu namun ia perlu diterima dan dihormati.

“Ke Bawah Duli meletakkan jawatan dan kita menghormati keputusan Ke Bawah Duli Tuanku. Namun saya rasa sedih kerana Ke Bawah Duli menjadi Yang Di-Pertuan Agong apabila kita menukar kerajaan dan Majlis angkat sumpah Perdana Menteri.

"Ia merupakan sejarah," katanya ketika ditemui media selepas hadir pada Majlis Penutup Persidangan Makmal Kemanusiaan 2.0 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada Ahad.

Malah jelas Wan Azizah, bagindalah yang telah memberi pengampunan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik kerajaan Pakatan harapan mengambil alih tampuk pemerintahan.

Kenyataan Wan Azizah ini merupakan respon pertama bagi pihak kerajaan selepas pengumuman yang mengejutkan seluruh negara oleh Sultan Muhammad V yang meletakkan jawatan baginda selaku Yang Di-Pertuan Agong.

BACA: Sultan Muhammad V letak jawatan

Tambah Wan Azizah, pihak kerajaan mengetahui perkara berkenaan selepas menerima kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara pada petang Ahad.

Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri itu tidak pasti bilakah Majlis Raja-Raja akan bermesyuarat untuk menentukan pengganti atau melantik Yang Di-Pertuan Agong yang baharu.