Seorang pemuda dihukum 20 tahun penjara dan 35 sebatan atas enam pertuduhan termasuk rogol, liwat dan rompak dengan mangsanya seorang jurujual sebuah butik pakaian.

Tertuduh Mohamad Nurhadi Othman, 25, mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dijalankan di dua Mahkamah Sesyen berasingan di Kuala Terengganu pada Khamis.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha tertuduh telah merogol mangsa yang berusia 23 tahun tanpa kerelaan.

Tertuduh juga berdepan dengan dua pertuduhan meliwat serta melakukan seks oral terhadap mangsa secara paksa.

Terdahulu, tertuduh turut didakwa merompak wang tunai bernilai RM2,600 milik butik berkenaan serta merompak dua utas rantai tangan dan cincin milik mangsa.

Pertuduhan itu dilakukan dilakukan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu sekitar jam 9.56 hingga 10.55 malam Rabu lalu.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi dan Nur Zafirah Rosli.

Mahkamah membenarkan hukuman penjara dijalankan serentak.