Penggunaan Bahasa Melayu perlu terus diperkasakan dalam semua bidang termasuk yang melibatkan aktiviti inovasi dan teknologi baharu bagi memastikan bahasa kebangsaan itu tidak ditelan zaman.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata penggunaan bahasa kebangsaan sebenarnya mampu mengangkat bahasa tersebut ke peringkat yang lebih tinggi dan mencipta wibawa Malaysia di mata dunia.

Beliau berkata usaha ini juga penting kerana dunia tanpa sempadan hari ini cenderung dikuasai oleh bahasa yang lebih banyak digunakan dalam penciptaan teknologi dan inovasi yang diperlukan masyarakat.

"Jadi, hanya kitalah yang dapat mengangkat bahasa kita sebagai persuratan ilmu dan kemajuan dengan menggiatkan penggunaannya dalam perniagaan, penulisan, pendokumentasian dan pembicaraan konsep-konsep baharu," katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Pelancaran Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Johor 2019 dan Penutupan Karnival Bitara Kesateria Negara di sini, pada Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) Datuk Dr Badrul Hisham Kassim.

Sehingga April tahun ini, Dr Sahruddin menjelaskan Bahasa Melayu adalah bahasa keenam paling banyak digunakan di internet dengan jumlah penggunaannya adalah seramai 169 juta orang, berada di belakang Bahasa Inggeris, Mandarin, Sepanyol, Arab dan Portugis.

Bagaimanapun, kedudukan berdasarkan jumlah penutur itu semata-mata bukanlah jaminan bahawa Bahasa Melayu menjadi bahasa komunikasi dan bahasa ilmu, jika rakyat sendiri tidak menggunakannya, katanya.

Justeru itu, beliau menyifatkan usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengadakan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan itu adalah tepat kerana menjadi contoh terbaik dalam menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi dan lain-lain dalam pelbagai bidang, termasuk sektor pendidikan, awam, swasta mahupun masyarakat.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penggembangan Bahasa dan Sastera, DBP Dr Hazami Jahari dan Pengarah DBP Wilayah Selatan Norhafizah Mohamed Husin.

Program selama tiga hari bermula 14 Sept itu merupakan kesinambungan usaha kerajaan untuk terus memperkasa Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

-- BERNAMA