Tutup

Bahasa kiasan dalam filem P. Ramlee teguran terhadap masyarakat masa kini

Bahasa kiasan dalam filem P. Ramlee teguran terhadap masyarakat masa kini
Sebagaimana ketelitian P. Ramlee membina sesuatu watak dan perwatakan dalam filemnya, begitulah beliau membina aksara-aksara dalam skrip dan dialognya sehingga memberi kesan kepada penonton.
BAHASA kiasan digunakan sebagai pertimbangan mengenai sesuatu perkara dengan perbandingan, mengibaratkan atau menyindir.

Bahasa kiasan biasanya ditujukan kepada seseorang atau kelompok masyarakat untuk menegur atau menasihati atau mengingatkan tentang sesuatu dalam keadaan tidak menyinggung perasaan atau menjatuhkan air muka.

Masyarakat Melayu memang akrab dengan bahasa kiasan kerana persekitaran hidup masyarakat Melayu mewah dengan akal budi.

Pada era feudal, masyarakat Melayu menggunakan bahasa kiasan dalam pantun atau peribahasa. Bukan bermaksud mahu membelit-belitkan bahasa atau situasi, tetapi lebih pada memupuk perasaan saling menghormati.
Yang paling utama, bahasa kiasan tersebut difahami oleh kelompok masyarakat yang menerimanya.

P. Ramlee ialah tokoh perfileman tanah air yang sering menggunakan bahasa kiasan dalam kebanyakan dialog filemnya, terutama dalam filem-filem komedi dan satira.
P. Ramlee berjaya memparodikan dialog kiasan untuk menegur masyarakatnya, bangsanya dan kepimpinan negara sejak zamannya sehingga hal tersebut relevan sehingga pada zaman teknologi langit terbuka.

Beliau tidak meletakkan sesuatu itu dengan hati yang suka-suka. Sebagaimana ketelitian P. Ramlee membina sesuatu watak dan perwatakan dalam filemnya, begitulah beliau membina aksara-aksara dalam skrip dan dialognya sehingga memberi kesan kepada penonton.

Betapa telitinya bahasa yang digunakan oleh P. Ramlee dalam pembikinan filemnya sehingga bahasa kiasan tersebut mampu membuka minda masyarakat tanpa rasa kecil hati atau dengki atau menyambutnya dengan kemarahan.

Antara filem yang banyak menggunakan dialog bahasa kiasan ialah Ali Baba Bujang Lapok. Filem Ali Baba (Bujang Lapok) bukan sahaja popular pada tahun 1961, tetapi kisah dan mauduk Ali Baba itu sudah mesra sebagai cerita rakyat tanpa mengira sempadan antarabangsa.

Watak Ali Baba ini merupakan saduran daripada kisah Ali Baba and Forty Thieves, Ali Baba vs Seven Cuceler (Hollywood) dan Ali Baba aur Forty Chor (Bollywood).

Antara petikan dialog kiasan dalam Ali Baba Bujang Lapok ialah “Jual candu ada lesen, jual ganja ada lesen, jual belacan tak ada lesen. Saya ‘smuggle’ dari Malaya.

Inilah teguran beliau terhadap sesebuah negara yang tidak menguatkuasakan undang-undang dengan cara yang telus dan betul.

Banyak perkara yang salah dibuat secara terang-terangan dan perkara yang baik terpaksa dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Ini jelas menunjukkan bahawa melakukan kebaikan kadangkala dianggap sebagai satu jenayah.

Dialog “Sekarang kita sudah pakai undang-undang baru. Satu hari lapan jam kerja. Hari Sabtu setengah hari, hari minggu public holiday! Faham?

P. Ramlee cuba menyampaikan tegurannya terhadap ketetapan dan peraturan waktu bekerja yang mesti dipatuhi.

Kerja lebih masa boleh mendatangkan tekanan kerja dan perasaan sehingga mengganggu emosi dan kestabilan hormon.

Banyak penyakit yang akan mempengaruhi seseorang individu apabila bekerja tidak mengikut peraturan yang dihadkan.

Hal ini terpakai sehingga ke hari ini, apabila majikan tidak mengambil berat tentang ketetapan waktu bekerja. Begitulah P. Ramlee membina integriti dalam masyarakat.

Teguran P. Ramlee terhadap sistem riba yang tidak patuh syariah telah lama diselitkan dalam filem beliau. “Hari-hari datang pinjam beras. Boleh bagi pinjam, tapi kasi balik dua gantang!

Lihatlah betapa kesungguhan bahasa yang digunakan oleh P. Ramlee untuk menegur pihak yang memberi pinjaman terutamanya institusi kewangan yang bertindak memberi pinjaman dengan kadar bayaran semula yang berganda, sama seperti bank konvensional yang memberi pinjaman dengan kadar bayaran balik yang lebih tinggi dan lengkap dengan riba.

Dalam filem lain juga, sering kali bahasa kiasan ini digunakan dan ditujukan untuk masyarakat bangsanya seperti dalam filem Tiga Abdul yang bertelingkah dalam perebutan harta pusaka, walaupun sistem faraid boleh sahaja diguna pakai bagi menyelesaikan masalah harta peninggalan si mati.

P. Ramlee telah mengungkapkan dialog “Hai...itu tidak adil! Itu namanya diktator. Kanda, adinda rasa lebih baik kita bahagi-bahagikan harta-harta ini secara demokrasi.

Pemikiran P. Ramlee jauh melebihi jangkauan masa dan zaman apabila beliau telah lama mengingatkan kita tentang hibah dan wasiat.

Hibah dan wasiat perlu dilaksanakan dalam tempoh manusia hidup supaya apabila meninggal dunia, harta pusaka tidak menjadi perdebatan. Namun masyarakat sering menidakkannya.

Apabila berlaku kematian, barulah segala rahsia terbongkar. Anak angkat tidak mendapat hak. Anak kandung berebut harta. Anak lelaki bertelingkah kuasa. Anak perempuan mula menderhaka.

Filem ini ditayangkan pada tahun 1964 semasa berlakunya isu konfrontasi Malaysia-Indonesia pada zaman pemerintahan Presiden Soekarno.

Istilah demokrasi terpimpin mula bermain di bibir masyarakat pada zaman itu dan ia relevan sehingga pada zaman pemerintahan negara pada hari ini.

Dan bersempena dengan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan, dialog dalam filem Seniman Bujang Lapok
Memang betul dia cakap, engkau tu mana ada bahasa, panggil orang hoi, hoi, hoi. Bahasa menunjukkan bangsa tau!” sangat mempengaruhi semangat api dari suatu zaman yang dilontarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sudah sekian lama P. Ramlee mengingatkan kita bahawa bahasa itu perlu dipelihara dengan baik kerana bahasa itulah budi dan susila terutamanya dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum.


Azura Halid ialah seorang pencinta bahasa yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.