Bahaya fahaman ekstremis sayap kanan

Bahaya fahaman ekstremis sayap kanan
Tragedi tembakan oleh pengganas di Christchurch sangat mengejutkan kerana New Zealand terkenal sebagai negara yang bersikap toleransi kepada semua pendatang. - Gambar AP
PADA 15 Mac 2019, dunia telah dikejutkan dengan kejadian serangan tembakan pengganas di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood, Christchurch, New Zealand.

Sehingga kini, 50 kematian telah direkodkan dalam kejadian yang menggemparkan seluruh dunia terutamanya apabila berlaku di negara New Zealand yang terkenal sebagai sebuah negara yang aman dan berkecuali serta menjadi pilihan migran termasuklah dari Malaysia.

Buat masa ini, melalui data dari Pejabat Peseruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington, terdapat kira-kira 1,247 rakyat Malaysia di Christchurch dan kira-kira 15,000 di seluruh New Zealand.

Kejadian ini amat mengejutkan dan sukar diterima oleh banyak pihak termasuklah rakyat New Zealand sendiri.

Ini adalah kerana New Zealand memang terkenal sebagai negara yang mesra kepada imigran dan bersikap toleran kepada semua pendatang.

New Zealand memang sudah lama menjadi tempat bergantung kepada para pelarian perang, pelarian politik, pelarian ekonomi dan lain lain lagi.

Malah majoriti pelarian Muslim yang ada di New Zealand pada hari ini merupakan rakyat dari Cambodia, Acheh, Rakhine dan Afghanistan, yang terkesan akibat peperangan dan penindasan di negara mereka.

Toleransi yang sangat tinggi dapat dilihat dalam semua struktur pentadbiran dan sistem kenegaraan yang dibentuk oleh New Zealand.

Pengiktirafan hak-hak masyarakat natif Maori di New Zealand memang tidak dapat disangkal lagi.

‘Treaty Waitangi’ atau perjanjian Waitangi telah dimeterai pada 6 Februari 1840 di Bay of Plenty, Auckland oleh wakil kerajaan British dengan lebih 500 ketua puak natif Maori.

Perjanjian ini dengan jelas mengiktiraf segala hak Maori di negara tersebut hinggakan sebahagian lagu kebangsaan New Zealand juga dinyanyikan dalam bahasa Maori, piagam pelanggan di semua agensi kerajaan dan swasta termasuk juga asimilasi Hakka dan perkataan-perkataan Maori dalam kehidupan seperti Aotearoa, Kia Kaha, Mana dan lain-lain lagi.

Sikap mengalu-alukan imigran termasuklah Muslim amat jelas kelihatan di New Zealand. Masjid, Sinagog, Kuil dan Tokong tumbuh melata di negara Kiwi ini.

Peluang yang sama rata untuk menjelaskan tentang agama-agama lain juga diberikan termasuklah rancangan khas tentang Islam juga disiarkan secara mingguan di TV2 negara itu.

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawasanya ada sedikit gangguan kepada umat Islam dan pendatang di New Zealand, tetapi peratusannya amat kecil dan tidak signifikan.
Kenyataan sokongan yang hebat dan amat jelas dapat dilihat dalam ucapan oleh Perdana Menteri, Jacinda Ardern pada hari kejadian.

Sikap tegas yang ditunjukkan oleh Ardern memang ketara apabila beliau dengan yakin menjeaskan bahawa perbuatan ini dilakukan oleh pengganas.

Walaupun kebanyakkan media di dunia mengatakan perbuatan ini dilakukan oleh ‘gunman’ atau penembak, tetapi ia jelas sebenarnya adalah perbuatan pengganas.

Ini jelas apabila dilihat dari segi kriteria dan takrifan pengganas serta kaitannya dengan perbuatan Tarrant, malah fahaman yang beliau perjuangkan juga menunjukkan bahawa beliau adalah pengganas.

Seringkali kejadian jenayah atau perkauman dikaitkan dengan orang luar dan bukannya penduduk asal New Zealand.

Sebagaimana yang kita semua maklum, kejadian tembakan ini bukannya dilakukan oleh orang New Zealand, akan tetapi dilakukan oleh orang Australia yang juga merupakan pendatang.
Malah penduduk asal yang sebenarnya di New Zealand ini adalah masyarakat Maori.

Maka kita dapat lihat bahawasanya unsur luar seringkali mengancam keselamatan dan kedaulatan sesebuah negara.

Keadaan yang sama juga boleh berlaku di Malaysia jika unsur luar yang tidak sesuai dan ekstrem dibawa masuk ke negara ini dan dikembangkan tanpa mengambilkira sensitiviti dan latar belakang etnik serta perjanjian sosial yang dibina sejak puluhan tahun dulu.

Penyerang yang menggunakan nama Brendon Breivick Tarrant ialah warga Australia berfahaman Far-Rightwing Extremists iaitu satu fahaman radikal Neo-Facism atau dikenali juga sebagai Neo-Nazi.

Golongan ini wujud dengan ketara selepas perang Dunia Kedua dengan mengambil roh Ketuanan Kulit Putih atau disebut ‘White Supremacy’.

Golongan ini sangat ekstrem berpaksikan ultranasionalism (mempromosikan kepentingan negara dan bangsa lebih utama atas segalanya), racial-supremacy (kepentingan bangsa atau etnik), authoritarianism (kerajaan autokratik dan menyekat kebebasan berpolitik), nativism (kepentingan politik kaum natif), racial supremacy (kepentingan berasaskan ras), populism (memperjuangkan golongan bawahan) dan juga menolak imigrasi.

Manifesto Tarrant berjumlah 74 muka surat yang dimuat naik sejurus sebelum serangan tersebut jelas menunjukkan dia membenci Islam kerana dianggap imigran yang mengambil tanah tumpah darahnya, imigran Islam dianggap parasit yang masuk kesemua negara Eropah dan secara perlahan-lahan menjajah negara mereka.

Imigran Muslim juga dianggap mempunyai kadar kelahiran tinggi yang yang akan menukar negara Kristian menjadi negara Islam.
Tarrant juga melihat serangan-serangan terroris yang dilakukan Muslim di Eropah sebagai subjek membalas dendam.

Ketika serangan kenderaan ke atas pejalan kaki di La Ramblas, Barcelona dan serangan bersenjata di Paris 2017, beliau berada di negara tersebut dan mula lahir rasa kebencian yang amat sangat kepada Islam.

Tarrant telah memasang niat untuk membalas dendam melalui perancangan rapi selama dua tahun dan kerja-kerja pengintipan di Dunedin dan Christchurch, New Zealand selama tiga bulan. 

Selain itu, nama-nama pejuang Kristian yang terlibat dalam siri-siri peperangan dengan Islam yang dikenali juga sebagai perang salib telah ditulis di lima pucuk senjata api yang dimilikinya.

Contohnya, nama Charles Martel, Raja Perancis yang berjaya menyekat peluasan kuasa empayar Islam di Eropah, Tours 732 iaitu peperangan yang berlaku di Sepanyol antara Kristian dengan Islam, Vienna 1683 iaitu peperangan antara Kristian dengan Usmaniyah, Odo The Great iaitu Raja Perancis yang berjaya mengalahkan kemaraan Islam di Eropah, Alexandre Bissonette yang melakukan penbunuhan umat Islam di Masjid Quebec Kanada, Anton Ludin Patterson yang membunuh pelajar-pelajar sekolah di Sweeden yang majoritinya adalah Muslim dan nama-nama tokoh kristian dan pengganas berhaluan sayap-kanan.

Tarrant juga dengan jelas meletakkan nama ‘tengah’ beliau Breivick, iaitu mengambil inspirasi daripada Andrei Brevick yang berfahaman Ektremis Sayap-Kanan ala Neo-Nazi.

Beivick telah melakukan serangan di Sweeden dan Pulau Utoya yang membunuh 77 orang pada 22 Julai 2011. Modus operandi yang hampir sama digunakan oleh Tarrant.

Malah jika dilihat apabila beliau dibawa ke mahkamah pada 16 Mac 2019, beliau dengan tersenyum mengaku tidak bersalah dan meyakini perbuatannya adalah benar.

Keadaan yang sama juga dilakukan oleh Breivick yang sehingga kini tidak menyesali malah berbangga dengan tindakannya.

Hari ini gerakan Ekstremis Sayap-Kanan ini semakin berkembang di seluruh dunia terutamanya Eropah.

Di Amerika Syarkat sahaja terdapat 1,070 kumpulan berhaluan seperti ini yang menyemai kebencian and ekstrem.

Kumpulan seperti Ku Klux Klan, Aryan Brotherhood, Aryan Nation, Atomwaffen Division, Creativity Network, Froternal of Alt-Knights (FOAK), National Alliance, National Vanguard, Stormfront dan banyak lagi wujud di Barat hari ini.

Kumpulan-kumpulan ini menyemai segala bentuk kebencian, ada yang anti bangsa, anti ras, anti agama, anti gender, anti LGBT, anti kerajaan, anti pendatang, anti budaya dan lain-lain lagi.

Kelompok ini adalah ekstrem dan radikal, mereka sanggup melakukan keganasan untuk mencapai objektif dan menyampaikan manifesto gila mereka.

Golongan ini adalah terroris dan modus operandinya jelas iaitu untuk menyampaikan objektif yang telah digariskan, keduanya menimbulkan ketakutan kepada masyarakat umum dan yang ketiga adalah menyebabkan kematian dan kemusnahan yang besar.

Golongan ini bukan sahaja menjadi ancaman kepada sesetengah kelompok malah sebenarnya adalah ancaman kepada sesebuah kerajaan.

Kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang dipraktikkan di negara Barat telah menjadi ancaman secara tidak langsung kepada negara mereka sendiri.

Sifat ekstrem sebegini sebenarnya boleh wujud dalam diri sesiapa sahaja termasuklah di Malaysia jika tidak dibendung dengan sebaiknya.

Kelompok berfahaman ekstrem ini tidak perlu ramai, seorang sahaja cukup kerana kerosakan yang boleh dilakukannya amat besar.

Banyak unsur luar yang tidak sesuai sedang cuba dibawa masuk ke Malaysia dan natijahnya ditakuti akan mengundang kepada konflik dan permusuhan.

Kenyataan-kenyataan berbaur perkauman dan rasis mulai subur di negara ini terutamanya selepas landskap politik Malaysia berubah pada Mei 2018 yang lalu. 

Ahli politik mestilah berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan, kerana mereka adalah idola dan mempunyai pengikut tersendiri.

Kita tidak mahu wujudnya ahli politik Ekstrem Sayap-Kanan di Malaysia sebagaimana Senator Fraser Anning dari Queensland, Australia yang menyalahkan polisi kerajaan New Zealand dan Australia amnya yang menerima imigran Muslim.

Malah apa yang lebih ditakuti adalah tindak balas daripada radikal Muslim pula sama ada di New Zealand mahupun di Barat.

Jika ini berlaku, permusuhan dan kebencian akan terus wujud dan akhirnya diterjemahkan dalam bentuk keganasan.


* Prof Madya Dr Mohd Mizan Aslam merupakan Profesor Madya UNIMAP dan Profesor Kunjungan, Pusat Kajian Timur-Barat Universiti of Hawaii, Honolulu USA

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.