Penggemar kerepek rangup yang dikenali sebagai papadom dinasihatkan agar mengurangkan pengambilannya kerana kandungan garam yang tinggi.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris berkata dalam ujian makmal yang dijalankan ke atas 11 sampel papadom, kesemuanya mengandungi lebih 1,000mg/100 gram garam.

Menurutnya, empat daripada sampel tersebut mengandungi lebih 2,000mg/100 gram garam.

"Pengambilan papadom yang banyak dalam makanan akan menyebabkan kandungan garam dalam badan tinggi. Ia akan menyebabkan tekanan darah tinggi, meningkatkan risiko strok dan serangan jantung.

"Sekeping papadom mengandungi 260 mg garam. Bayangkan jika satu hidangan, anda mengambil lima keping papadom, maknanya kandungan garam yang diambil adalah 1,300mg," katanya kepada media tadi.

Jelasnya, walaupun papadom boleh dianggap tidak memudaratkan, pengambilan berlebihan akan menyebabkan sembelit dan perut berangin.

Sehubungan itu, CAP menggesa Kementerian Kesihatan menetapkan kadar garam dalam papadom agar pengambilan perasa itu dapat dikawal.