Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan audit keselamatan secara menyeluruh ke atas semua taman permainan awam.

Ini bagi mengelak berlakunya kemalangan, kata Pengerusi NIOSH Tan Sri Lee Lam Thye, susulan insiden yang berlaku di taman permainan di Kepong pada 24 November lalu.

Lee berkata, audit tersebut perlu dijalankan bagi memastikan kes melibatkan remaja perempuan meninggal dunia selepas kepalanya tersepit ketika bermain buaian di taman itu, tidak berulang.

"Kebanyakan PBT dan persatuan yang menjaga taman permainan awam tidak mengamalkan budaya penyelenggaraan yang baik.

"PBT perlu melatih pekerja atau kontraktor mereka untuk jaga keselamatan di taman permainan dengan betul sementara papan penerangan mesti diletakkan di setiap peralatan bagi membolehkan orang ramai belajar cara dan siapa yang boleh menggunakannya," katanya.

Lee berkata, pihak berkaitan juga harus mematuhi piawaian yang ditetapkan Jabatan Standard Malaysia, termasuk menggunakan peralatan permainan dan jenis permukaan yang diluluskan.

"Juga, perlu ada Inspektor Keselamatan Taman Permainan Bertauliah (CPSI) berkelayakan dan program advokasi untuk membantu menghalang vandalisme," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kajian yang dibuat Persatuan Keselamatan Taman Permainan Malaysia (PSAM) menunjukkan 75.6% taman taman permainan awam berada dalam keadaan yang kurang memuaskan dengan 50% peralatannya berkarat dan boleh menimbulkan bahaya kepada kanak-kanak.

Kajian PSAM yang dijalankan untuk Biro Pengaduan Awam itu telah meninjau 40 taman permainan awam di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan pada Julai tahun lepas.

Mengulas lanjut, Lee berkata, Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam Datuk Harjeet Singh menjelaskan terdapat sejumlah 11,231 aduan mengenai taman permainan yang diterima oleh PBT antara 2015 dan 2016.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan pula, sejumlah 530 kanak-kanak mendapat rawatan di hospital kerajaan selepas mengalami kemalangan yang melibatkan peralatan di taman permainan antara 2014 dan 2016.

"PSAM mendapati penyangkut berkarat, kehilangan pemegang tangan dan tempat berpijak, laluan pecah dan berlubang, permukaan atau lantai di kawasan permainan yang tidak rata, rosak, busuk, berkulat, haus atau lekang, papan gelongsor dan buaian yang rosak, rumput yang tidak dipotong serta taman permainan yang dipenuhi sampah dan botol yang dipecahkan adalah beberapa masalah yang terdapat di taman permainan awam di Malaysia.

"Ini merupakan masalah serius kerana dilaporkan bahawa 78% kecederaan yang dialami kanak-kanak di taman permainan adalah disebabkan terjatuh.

"Setiap tahun 250,000 kanak-kanak di bawah 15 tahun di Amerika Syarikat mendapat kecederaan di taman permainan dan memerlukan rawatan kecemasan," jelasnya.