Kerajaan meningkatkan gaji minimum pekerja tempatan dalam Bajet 2016 bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata dengan peningkatan gaji minimum itu, kerajaan berharap lebih ramai rakyat dapat memperoleh pekerjaan dalam pelbagai industri di negara ini.

Nampaknya bilangan mereka terus meningkat. Ini tak boleh berterusan, kita rasa ini perkara yang serius
"Langkah ini juga selaras dengan usaha kerajaan mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020... kita harap lebih ramai rakyat kita dapat mengambil alih pekerjaan yang kini dilakukan pekerja asing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat MCA Telok Kemang di sini, hari ini.

MESTI BACA: Bajet 2016: Cukai orang kaya dinaikkan, kerajaan dengar keluhan kumpulan sederhana

Turut hadir Pengerusi Barisan Nasional Telok Kemang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Pengerusi MCA Negeri Sembilan Datuk Seri Dr Lim Chin Fui.

Beliau diminta mengulas mengenai permintaan Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) supaya kenaikan kadar gaji minimum itu, yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Julai tahun depan, ditangguhkan sehingga keadaan ekonomi stabil.

Dalam Bajet 2016, kerajaan menggariskan bahawa gaji minimum untuk pekerja sektor swasta di Semenanjung dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,000 sebulan dan daripada RM800 kepada RM920 bagi mereka di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan gaji minimum itu tidak terpakai kepada pekerja domestik.

MESTI BACA: Gaji minimum baru mungkin beri kesan yang sedikit ke atas sektor pengangkutan Sarawak

Liow berkata kerajaan telah memberikan tempoh yang lama kepada pengusaha-pengusaha kilang supaya mengurangkan bilangan pekerja asing sebaliknya menggunakan khidmat tenaga kerja tempatan.

"Kita sudah beritahu jangan terlalu bergantung kepada pekerja asing tetapi nampaknya bilangan mereka terus meningkat... ini tak boleh berterusan, kerana kita rasa ini perkara yang serius,"jelasnya.

Selain meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji minimum, FMM turut memohon kerajaan mengkaji peningkatan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial daripada RM3,000 kepada RM4,000 kerana ia akan meningkatkan lagi kos perniagaan terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana.

MESTI BACA: Bajet 2016: Faedah BR1M untuk rakyat mulai Januari, 2016