Tutup

Bajet 2019: DBKL peruntuk RM2.896 bilion untuk memenuhi aspirasi warga kota

Bajet 2019: DBKL peruntuk RM2.896 bilion untuk memenuhi aspirasi warga kota
NOR HISHAM: DBKL menyediakan peruntukan baharu berjumlah RM20 juta bagi menguruskan perkhidmatan bas GO-KL yang akan diperluaskan lagi jaringan laluan dan bilangan bas serta tiada caj tambang yang dikenakan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM2.896 bilion bagi Bajet 2019 yang bakal menyaksikan perancangan dan projek untuk memenuhi keselesaan dan keselamatan 1.79 juta warga kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata bajet bertemakan 'Kuala Lumpur Sejahtera, Harapan Warga Kota' memperuntukkan sebanyak RM1.694 bilion atau 58.5 peratus disediakan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM1.202 bilion (41.5 peratus) untuk pembangunan.
Menurutnya, Bajet DBKL 2019 memperlihatkan peruntukan mengurus menurun sebanyak 3.7 peratus atau RM65.5 juta berbanding peruntukkan pada tahun lepas iaitu RM1.759 bilion manakala peruntukan pembangunan meningkat sebanyak 4.9 peratus atau RM56.04 juta berbanding tahun 2018 sebanyak RM1.146 bilion.

"Bagi merancakkan pergerakan warga kota, DBKL menyediakan peruntukan baharu berjumlah RM20 juta bagi menguruskan perkhidmatan bas GO-KL yang akan diperluaskan lagi jaringan laluan dan bilangan bas serta tiada caj tambang yang dikenakan.
"Selain itu, sebanyak RM800 ribu diperuntukkan untuk pelbagai bantuan kepada golongan gelandangan yang kurang bernasib baik," katanya ketika membentangkan Bajet DBKL 2019 di sini, pada Khamis.

Nor Hisham berkata sebanyak RM692.01 juta diperuntukkan bagi tujuan pengurusan dan pembangunan membabitkan program jalan raya dan saliran di seluruh kawasan Kuala Lumpur.

Bagi memenuhi keperluan penduduk yang berpendapatan rendah, DBKL menyediakan RM262.17 juta bagi mengurus lebih 73,000 unit rumah di 33 kawasan Projek Perumahan Rakyat dan 32 Perumahan Awam di sekitar Kuala Lumpur.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM142 juta disediakan untuk membaiki dan menyelenggara rumah yang melibatkan kerja-kerja awam, elektrik, mekanikal, kerja lif dan kontrak pembersihan bagi memastikan keselesaan penduduk.

Nor Hisham berkata, anggaran hasil 2019 dijangka menurun kepada RM2.465 bilion berbanding RM 2.667 bilion dalam tahun 2018 iaitu penurunan sebanyak 7.5 peratus.

"Hasil cukai taksiran yang dijangka berjumlah RM1.029 bilion merupakan hasil utama DBKL yang menyumbang sebanyak 49 peratus daripada hasil keseluruhan DBKL.

"DBKL juga bercadang tidak akan menaikkan kadar cukai taksiran ke atas pegangan harta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan akan terus mengekalkan insentif kepada pembayar cukai taksiran golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sebanyak 20 peratus seperti tahun ini," katanya.

Tambahnya, keseluruhan bajet 2019 diharapkan dapat memberi manfaat kepada warga kota yang mengutamakan kepada pembangunan kesejahteraan kehidupan dengan persekitaran berkualiti, selamat serta gaya hidup sihat sekaligus dapat mencapai objektif dan misi DBKL untuk menjadi 'Bandar Raya Bertaraf Dunia'.

-- BERNAMA


Tag: DBKL, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Bajet 2019, Nor Hisham Ahmad Dahlan, GO-KL



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.