Tidak pernah wujud istilah layanan anak tiri buat negeri Perlis, terutama dari segi bajet dalam sektor pelancongan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan.

Demikian tegas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, walaupun Perlis adalah negeri yang diperintah pembangkang.

Jelasnya, setiap permohonan bajet atau peruntukan yang dibuat haruslah dibuat mengikut saluran yang betul.

Tambahnya, tidak pernah wujud istilah pilih kasih kepada mana-mana pihak, sebaliknya setiap sesuatu yang dilakukan adalah demi memastikan kepentingan rakyat terbela.

"Kita (Kerajaan Pusat) tak pernah anggap Perlis luar dari Malaysia. Kita adalah rakyat Malaysia.

"Kita melihat pada (aliran) tunai, maka setiap (permohonan peruntukan) yang dihantar, kami akan menilainya,” katanya selepas perasmian Pesta Angin Timur (PAT) Perlis 2019 di hadapan Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negara, Tan Sri Norliza Rofli dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Mohamaddin dan Azlan bersama-sama merasmikan PAT 2019, salah satu program pelancongan budaya, yang berlangsung pada Jumaat dan Sabtu.

Pesta Angin Timur (PAT) Perlis yang diadakan sempena peredaran musim sejuk kepada musim panas dengan berlatarbelakangkan suasana kampung, memaparkan keunikan cara hidup masyarakat petani di utara Semenanjung.

Mengenai Tahun Melawat Malaysia 2020, Mohamaddin berkata Malaysia yang menyasarkan kedatangan 36 juta pelancong dan pendapatan RM168 bilion sedang giat mempromosinya ke seluruh dunia.

Semasa berucap pada majlis itu, Azlan berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memberi peruntukan lebih kepada Perlis bagi menganjurkan aktiviti pelancongan yang memberi impak kepada industri pelancongan negara.

PAT adalah antara tiga acara utama dalam kalendar pelancongan negeri yang mendapat sambutan menggalakkan di samping Perlis Marathon pada 24 April ini dan Pesta Air Kuala Perlis pada pertengahan tahun ini.

Jumlah pengunjung PAT meningkat setiap tahun iaitu lebih 113,000 pada tahun lepas berbanding lebih 108,000 pada 2017.

Menurut Menteri Besar itu lagi, jumlah kehadiran pelancong ke Padang Besar turut meningkat mendadak dan merekodkan 1.8 juta orang pada tahun lepas.