Teman rapat kepada mangsa kemalangan Nur Fitrah Rosman, Husnul Qhotimah Ahsanulhaq, 24, pengsan sejurus selepas dimaklumkan rakan karibnya itu maut dalam kemalangan di kilometer 446 lebuhraya PLUS kedua-dua arah pada Sabtu.

Menurut bapa saudara pengantin itu, Saniman Akas, 64, yang mewakili keluarga pengantin berkata berita tersebut nyata mengejutkan anak saudaranya.

Katanya lagi, Husnul ada menyatakan bahawa Nur Fitrah bersungguh-sungguh untuk menghadiri majlis perkahwinan yang dijadual berlangsung esok di Kampung Melayu Wira Damai di Gombak.

Ujar Saniman, arwah ada menghubungi anak saudaranya berhubung majlis perkahwinan tersebut.

"Dua hari lepas, arwah ada telefon anak saudara saya mengatakan dia akan hadir ke majlis perkahwinan itu,” ujar Saniman ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sungai Buloh di sini malam ini.

Mohammad Hafiz Shahrul (kiri), NUR FITRAH (tengah) dan Nurbaya Mohd Zaki antara mangsa maut dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di kilometer 446, Lebuh Raya PLUS di sini.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari tadi, Nur Fitrah merupakan antara empat maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan termasuk sebuah treler di Km 446 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) melibatkan kedua-dua arah.

Selain Nur Fitrah, dua rakannya, Nurbaya Mohd Zaki, dan Mohammad Hafiz Shahrul Jefri Din, berusia 24 tahun serta seorang pekerja swasta, Noorakhirludin Alam Mohamad Noor, 48 tahun.

Kejadian dipercayai berlaku apabila treler yang menghala ke arah utara terbabas sebelum memasuki lorong bertentangan ke arah selatan lalu melanggar kenderaan di laluan berkenaan.