Kementerian Luar Negeri menzahirkan kebimbangan terhadap penyebaran video kontroversi yang dimuat naik ke akaun Facebook ‘President Pamatong Supporters’, yang memaparkan bendera Malaysia dibakar secara terbuka.

Wisma Putra dalam satu kenyataan menegaskan, Malaysia mengutuk perbuatan itu dan menyifatkan ia sebagai insiden yang perlu diberi perhatian serius.

"Bendera adalah simbol kebangsaan sesebuah negara dan harus diperlakukan dengan penuh rasa hormat. Tindakan sedemikian serta komen-komen bernada anti-Malaysia yang dibuat oleh individu terbabit, Elly Pamatong, adalah tidak berasas dan menyinggung perasaan rakyat Malaysia," kenyataan itu menyebut.

Kerajaan Malaysia menggesa Kerajaan Filipina mengambil tindakan tegas terhadap Pamatong dan memastikan insiden itu tidak berulang kerana ia boleh menjejaskan hubungan dua hala yang selama ini terjalin baik.

Dalam kedua-dua video yang berdurasi 19 minit 50 saat dan tiga minit 18 saat itu, Pamatong yang mendakwa dirinya sebagai pengasas United States Allied Freedom Fighters of the East (USAFFE), mengeluarkan kenyataan-kenyataan anti Malaysia sebelum bertindak membakar bendera Malaysia.