Masyarakat negara ini perlu memikirkan secara serius dan mendalam tindakan anak muda yang sanggup melakukan kesalahan hingga membakar sebuah pusat tahfiz, kata Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah, Tan Sri Lee Lam Thye.

Jelas beliau, kegagalan insitusi keluarga menjadi punca utama mengapa kanak-kanak di bawah umur melakukan kesalahan jenayah seumpama itu.

"Apa sudah jadi hari ini dengan anak muda kita? Bagaimana mereka dididik dan dibesarkan untuk mereka membezakan mana baik dan buruk?

"Mengapa kumpulan remaja ini sanggup terlibat dalam perbuatan ganas seperti membakar (pusat tahfiz)?," katanya semasa ditemubual dalam Buletin Awani Khas di sini.

Tambahnya, kegagalan membentuk jati diri yang baik di kalangan anak-anak menyebabkan mereka tidak mampu membezakan antara baik buruk sesuatu perkara.

Pada masa sama katanya, ibu bapa perlu mengambil tahu mengenai pergerakan anak-anak mereka bagi mengelak mereka melakukan kesalahan jenayah.

"Apa peranan ibu bapa? Adakah mereka tahu apa mereka lakukan? Ditambah pula dengan faktor media sosial yang banyak memberi kesan kepada anak muda hari ini," ujarnya.

Justeru, beliau berharap tragedi yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah menjadi iktibar dan semua pihak terlibat perlu memainkan peranan masing-masing dengan mengambil tindakan sewajarnya agar kejadian sama tidak berulang.

Pada Sabtu, polis menahan tujuh remaja bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

BACA: Akibat ejek-mengejek, pusat tahfiz dibakar

BACA: Kebakaran pusat tahfiz: Tujuh fakta susulan penahanan suspek

Mereka berumur di antara 11 dan 18 tahun dan bukan pelajar dari pusat tahfiz berkenaan.

Penahanan itu dilakukan hasil pengecaman wajah seorang remaja melalui kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut.

23 orang termasuk dua penjaga pusat tahfiz terkorban dalam kebakaran yang berlaku pada Khamis lalu.