Baki dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diuruskan oleh Cayman Monetary Authority sebanyak US$1.103 bilion telah ditebus dalam bentuk wang tunai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata dana tersebut masih disimpan dalam mata wang US Dolar di BSI Bank Limited Singapore (BSI) Singapura, bertujuan untuk memudahkan urusan pengeluaran wang.

"Keputusan untuk menggunakan bank di Singapura bertujuan untuk memudahkan urusan pengeluaran wang memandangkan peraturan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) memerlukan kelulusan BNM diperoleh bagi setiap transaksi wang melebihi RM50 juta," katanya dalam jawapan bertulis kepada Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) yang diedarkan kepada media di lobi Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.

Sebelum ini, Pua telah meminta Menteri Kewangan agar menyatakan sama ada baki wang sebanyak US$1.1 bilion yang telah dituntut oleh 1MDB daripada pelaburan di Pulau Cayman, United Kingdom, adalah berbentuk wang tunai atau masih dalam pegangan aset serta lokasi wang tunai atau aset itu.

Semalam, Jabatan Audit Negara telah memulakan proses pengauditan 1MDB sebaik menerima arahan daripada Perdana Menteri pada minggu lepas.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata jabatan itu akan memberi keutamaan dalam melaksanakan pengauditan syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu secara bebas dan profesional.