Balai Polis Sentul kini beroperasi semula pada jam 4 petang Rabu selepas proses sanitasi kali kedua dijalankan.

Demikian jelas Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah, dalam satu kenyataan ringkas, berhubung penutupan balai polis itu selepas tular gambar seorang lelaki didakwa mempunyai simptom COVID-19 telah hadir ke balai terbabit pada pagi Rabu.

Jelasnya, lelaki berusia 81 tahun berkenaan tiba di balai terbabit pada jam 10.20 pagi untuk membuat laporan polis.

Ketika itu ujarnya, seorang anggota yang bertugas di kaunter pertanyaan telah mendapati lelaki terbabit menunjukkan tanda disyaki mempunyai simptom batuk-batuk dan sesak nafas.

"Pada waktu tersebut, selain anggota PDRM hanya dia seorang yang berada di tempat duduk berdekatan kaunter pertanyaan.

"Pemerhatian awal oleh anggota kaunter Balai Polis Sentul di kaunter pertanyaan mendapati pengadu menunjukkan tanda-tanda disyaki mempunyai simptom COVID-19 kerana sesak nafas dan batuk-batuk dan dipercayai baru keluar dari hospital," katanya.

Bertindak pantas, anggota terbabit telah menghubungi Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum anggota petugas kesihatan tiba dengan sebuah ambulans untuk mengambil lelaki berkenaan pada jam 11 pagi.

Pada masa sama jelasnya, penutupan segera turut diambil bagi memastikan proses sanitasi dijalankan di balai terbabit manakala semua anggota tidak dibenarkan meninggalkan lokasi sehingga arahan selanjutnya diberikan oleh pihak HKL.

"Pada lebih kurang jam 2.20 petang, pihak kami dimaklumkan bahawa pesakit tersebut bukan pesakit COVID-19 dan merupakan pesakit biasa yang pernah dimasukkan dan dirawat dalam wad HKL.

"Balai Polis Sentul akan beroperasi seperti biasa mulai jam 4 petang selepas proses sanitasi kedua," katanya.

Terdahulu, beberapa keping gambar notis penutupan Balai Polis Sentul serta seorang lelaki sedang menaiki ambulans tular di laman sosial dan mencetuskan tanda tanya dalam kalangan masyarakat.