Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Banci 2020: Dua fasa berikutan pandemik COVID-19

Banci 2020: Dua fasa berikutan pandemik COVID-19
Pelaksanaan banci 2020 yang melibatkan kira-kira 32.7 juta penduduk dan sembilan juta tempat kediaman akan dijalankan secara dua fasa. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan akan melancarkan Hari Banci Malaysia yang bertemakan '6 Dekad Banci Membina Negara' pada Selasa ini, 7 Julai di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan berikutan pandemik COVID-19, pelaksanaan banci 2020 yang melibatkan kira-kira 32.7 juta penduduk dan sembilan juta tempat kediaman akan dijalankan secara dua fasa.
"Fasa pertama bermula 7 Julai hingga 30 September secara dalam talian (e-Census), manakala fasa kedua akan bermula 7 hingga 24 Oktober menggunakan kaedah temu ramah secara bersemuka.

"Objektif pelaksanaan banci adalah untuk mengumpul stok dan profil penduduk serta perumahan yang komprehensif dan terperinci sehingga ke peringkat geografi terkecil. Data banci akan menjadi sumber utama dan penting dalam penyediaan rancangan pembangunan negara," menurut kenyataan itu.
Banci 2020 adalah yang keenam dilaksanakan sejak penubuhan Malaysia dan banci dilaksanakan setiap 10 tahun sekali.

Sementara itu, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan pada hari berkenaan termasuk sesi Media Cakna Banci bersama Pesuruhjaya Banci 2020, seminar MyCensus 2020: Statistik Kependudukan Memacu Kelestarian Malaysia dan webinar antarabangsa dengan tema 'Counting Everyone for a Better Tomorrow'.

Selain itu, pameran daripada pelbagai agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta juga akan turut diadakan.

Menurut kenyataan itu, lagu 'Banci Malaysia' akan diperdengarkan ketika majlis tersebut sebagai simbolik bermulanya Banci 2020.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Banci 2020, orang ramai boleh mengakses portal banci iaitu www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020.

-- BERNAMA