BANDAR Penggaram di daerah Batu Pahat merupakan salah satu bandar di seluruh Malaysia yang pesat membangun, kesan limpahan perkembangan perindustrian dan juga bidang pendidikan.

Di samping itu, ia juga terkenal dalam kalangan warga Singapura dan menggelarnya sebagai salah sebuah tempat ‘syurga beli-belah di Johor’.

Bandar ini adalah bandar lama Pusat Bandar Batu Pahat yang bertaraf hierarki Pusat Wilayah Negeri dalam Rancangan Tempatan Daerah Batu Pahat (Pengubahan) 2002-2020) dan Rancangan Struktur Negeri Johor. Bandar Penggaram juga merupakan pusat kegiatan ekonomi asal yang menempatkan rumah kedai lama serta aktiviti perniagaan berasaskan runcit.

Sebagai sebuah bandar yang sedang pesat membangun dan kepadatan penduduk kian bertambah, kesedaran untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon dioksida menjadi matlamat jangka panjang masyarakat setempat.

Mana mungkin sesuatu matlamat itu dijayakan secara persendirian tanpa sokongan daripada pelbagai pihak. Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) telah menggerakkan inisiatif terbaik dengan melibatkan 13 buah agensi yang bersama-sama membantu ke arah bandar berkarbon rendah yang telah disasarkan pada tahun 2030.

Kesepakatan dan perancangan terperinci termasuklah perlaksanaan dan pemantauan program serta menjalinkan kerjasama bersepadu menjadikan kawasan bandar Penggaram merupakan salah satu kawasan yang boleh dijadikan sebagai ‘role model’ kepada kawasan-kawasan bandar yang lain.

Kawasan sempadan bandar karbon rendah di Bandar Penggaram dan sebanyak 13 buah agensi terlibat merealisasikan matlamat tersebut.

Komitmen tersebut juga menunjukkan bahawa komuniti bandar Penggaram saling berganding bahu dan telah tekad ke arah persekitaran yang lebih baik di masa hadapan. Kejayaan ini merupakan salah satu pencapaian menyeluruh ke arah bandar berkarbon rendah.

Ini selaras dengan Bandar Berkarbon Rendah (LCCs) yang telah menjadi agenda utama negara seperti yang termaktub di dalam Pelan Induk Teknologi Hijau Malaysia (GTMP) 2017-2030. Kerajaan telah mensasarkan pengurangan intensiti pelepasan karbon dioksida per KDNK sebanyak 40 peratus menjelang 2030 berbanding 2005.

Sasaran ini memerlukan komitmen berterusan dan bersepadu terutamanya di kawasan-kawasan bandar utama di Malaysia. Malah, kerajaan tempatan khususnya harus mengambil tanggungjawab dan peranan utama dalam membantu pengurangan karbon dioksida yang menjadi matlamat utama negara.

Untuk rekod, MPBP telah mendapat pengiktirafan Provisional Certificate Low Carbon City Framework (LCCF) oleh MESSTECC dan berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan pensijilan LCCF Diamond Rating menjelang tahun 2020 melalui kerjasama menyeluruh agensi yang terlibat.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim MESSTECC bersama-sama pasukan penyelidik UTHM

UTHM Galas Tanggungjawab

Sebagai sebuah universiti yang melahirkan ramai cendekiawan dan golongan profesional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) juga telah memainkan peranan serius dalam membantu menjayakan komitmen yang telah ditetapkan.

Sejajar dengan niche area UTHM yang menfokuskan kepada bidang teknologi mapan dan pengangkutan, UTHM diberikan mandat besar untuk melaksanakan penyelidikan dan perancangan pembangunan pengangkutan bandar berkarbon rendah bagi merealisasikan hasrat MPBP menjadikan bandar Penggaram sebagai salah sebuah bandar karbon rendah menjelang tahun 2030.

UTHM juga akan dijadikan ‘benchmark’ oleh pihak Malaysian Green Technology Corporation dalam penyediaan Kerangka Pelan Perancangan dan Penambahbaikan Pengangkutan Bandar Berkarbon Rendah bagi bandar Penggaram untuk dilaksanakan di kawasan-kawasan lain seluruh negara pada masa akan datang. Ini adalah merupakan salah satu usaha dan kerjasama dengan pihak industri di samping menyumbang kembali kepada masyarakat setempat.

Hakikatnya, kita harus ‘berjiwa besar’ untuk mencapai apa yang diimpikan. Semoga impian menjadi kenyataan.



* Dr Mohd Fahmy Abdullah merupakan Ketua Projek bagi ‘Penggaram City Towards Low Carbon Cities 2030: Urban Transportation’ selama 1 tahun melalui Matching Grant di bawah tajaan Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.