Polis Bukit Aman dipercayai telah menyita rumah banglo milik keluarga hartawan kontroversi, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low di Tanjung Bungah Park, Pulau Pinang.

Difahamkan, kediaman banglo mewah milik ibu Jho Low itu tidak berpenghuni ketika disita.

Tinjauan di rumah tersebut mendapati notis sitaan telah ditampal di luar pintu pagar rumah berkenaan.

Difahamkan polis dari Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) telah menyita rumah berkenaan pada 21 Mac lepas.

Notis sitaan dari Pejabat Peguam Negara itu dibuat mengikut Sub Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) Polis Diraja Malaysia 2001.

Jho Low dikehendaki berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T.Narenasegaran ketika dihubungi memaklumkan tidak mendapat maklumat mengenai perkara itu dan enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut.