Bangsa Kedah itu contoh, jangan salah faham - Johari

Bangsa Kedah itu contoh, jangan salah faham - Johari
JOHARI: Kita mahu semangat nasionalisme yang menyatukan masyarakat tanpa ada pagar-pagar pemisah di antara kita. - Gambar fail
SUNGAI PETANI: Datuk Johari Abdul tampil menjelaskan hari ini istilah ‘Bangsa Kedah’ yang disebutnya sebelum ini hanya satu contoh yang digunakan bagi menggambarkan perpaduan yang jitu dalam kalangan masyarakat yang boleh diwujudkan di negeri itu.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri (MPN) Kedah itu, istilah tersebut hanya dijadikan sandaran supaya rakyat mencontohi konsep ‘Bangsa Johor’ yang telah diamalkan sejak sekian lama.

Tambahnya, perkara utama yang harus menjadi fokus rakyat Kedah adalah kesatuan masyarakat yang jitu supaya negeri itu membangun dengan baik dari segala aspek.

"Saya sebut semalam (Rabu) bagaimana kita tengok contoh Johor, konsep acuan mereka. Mereka sanggup melaungkan perkataan Bangsa Johor. Inilah yang patut kita ikut.
"Iaitu semangat nasionalisme yang akan menyatukan masyarakat di bawah, tanpa ada pagar-pagar pemisah di antara kita.

"Maksud saya, bukan kita harus jadi nasionalis yang totok, (seperti) ini orang Kedah, tak boleh kawan dengan orang Johor, orang Negeri Sembilan. Maksud saya, penyatuan itu," kata Johari.

Johari ditemui pada pertandingan bola sepak anjuran Komuniti Masyarakat Tikam Batu di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Pekula Jaya, Tikam Batu, hari ini.

TONTON: Wujudkan konsep 'Bangsa Kedah'

Pada Rabu, beliau dilaporkan berkata, rakyat Kedah seharusnya mewujudkan konsep 'Bangsa Kedah' seperti 'Bangsa Johor' yang telah lama dijadikan teras penting kepada penyatuan rakyat.

Bagaimanapun, mengulas perkara itu, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan, beliau tidak bersetuju dengan istilah yang dicadangkan.

Katanya, tiada keperluan untuk mewujudkan bangsa khusus seperti Bangsa Kedah dan ia dikhuatiri akan mewujudkan semangat kenegerian yang melampau.