Bangunan baharu LHDN serba canggih, lebih strategik

Bangunan baharu LHDN serba canggih, lebih strategik
Bangunan baharu LHDN Cawangan Kluang di Jalan Batu Pahat-Kluang. - Foto Sinar Harian
KLUANG: Kedudukan bangunan baharu Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) Cawangan Kluang yang beroperasi di Jalan Batu Pahat-Kluang bermula 5 Mei ini lebih strategik.

Pengarah LHDN Cawangan Kluang, Hafiz Adnan berkata, bangunan 11 tingkat yang serba canggih itu telah diiktiraf sebagai Bangunan Teknologi Hijau yang mesra alam sekitar.

Menurutnya, selain itu turut disediakan kemudahan meletakkan kenderaan yang luas bakal memberi keselesaan kepada orang ramai untuk melakukan urusan. “Saya harap suasana baru di bangunan ini dapat meningkatkan prestasi kerja dan perkhidmatan semua kakitangan di LHDN Kluang ini.
“Pihak kami juga percaya bahawa bangunan ini akan menjadi mercu tanda baharu apatah lagi ia berada di laluan utama orang ramai sama ada untuk masuk atau keluar dari bandar Kluang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Penyerahan Kunci Bangunan LHDN Cawangan Kluang di Jalan Kluang-Batu Pahat di sini kelmarin. Turut hadir Pengarah Jabatan Logistik Korporat LHDNM, Noraini Mustaffa; Pengarah Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti LHDNM; Abdul Khalid Yunus; Pengarah Urusan Majupadu Development Sdn Bhd, Tey Ah Kau dan Pengarah Projek Majubinamas Sdn Bhd, Tey Fui Kien.

Sementara itu, Tey Fui Kien berkata, bangunan LHDN Cawangan Kluang ini mula dibina pada 27 Oktober 2016 dan siap sepenuhnya pada 8 April lalu sebelum diserahkan kepada LHDN Cawangan Kluang kelmarin.

“Hasil daripada kerjasama semua pihak yang terlibat dalam pembinaan bangunan ini, ia berjaya mencapai 80 peratus untuk piawaian Qlassic (70 peratus melebihi tema kontrak) dan 62 mata untuk bangunan hijau.

“Sebagai pemaju, kita harap dengan beroperasinya bangunan LHDN baru ini nanti, secara tak langsung pembangunan Bandar Newpark Kluang akan bermula,” katanya.




Tag: LHDN, Kluang, Hafiz Adnan, Bangunan Teknologi Hijau


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.