Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye menggesa siasatan rapi dibuat susuluan kebakaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya kira-kira tengahari tadi kerana maklumat awal mendedahkan ia melibatkan penggunaan bahan binaan yang melanggar undang-undang.

Menurutnya, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Soiman Jahid melaporkan, punca kebakaran adalah percikan api yang terkena 'cladding' atau lapisan pelindung yang mudah terbakar.

TONTON: Inilah punca kebakaran di bangunan KWSP!

''Penggunaan 'cladding' atau panel pelindung mudah terbakar itu adalah menyalahi undang-undang dan siasatan menyeluruh perlu dibuat mengapa tiada tindakan diambil walaupun insiden sama pernah berlaku di dalam dan luar negara sebelum ini'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Insiden yang paling mengejutkan adalah kebakaran yang meragut nyawa ramai penghuni Grenfell Tower di Barat London tahun lepas. Ia turut mendedahkan lebih daripada 100 bangunan tinggi di 37 kawasan di negara tersebut turut dilitupi dengan bahan mudah terbakar yang sama.

Di Malaysia, JBPM turut mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 47 bangunan kediaman tinggi di seluruh negara, termasuk 40 pangsapuri dan kondominium di Lembah Klang, berisiko tinggi kebakaran.

''Pihak berkuasa dan pihak berkepentingan perlu mengambil kebakaran di bangunan KWSP ini sebagai pengajaran dan mengambil langkah proaktif untuk mencegah berlakunya tragedi serupa di Malaysia.

''Mereka yang terlibat merekabentuk dan membina struktur bangunan pula perlu menjadikan pencegahan kebakaran sebagai pertimbangan utama mengenai keselamatan bangunan,'' tegasnya.

Pihak berkuasa juga katanya, perlu mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan JBPM berkaitan panel komposit aluminium berkualiti rendah dan mudah terbakar yang digunakan oleh ramai kontraktor di seluruh negara.

Beliau turut menggesa agar JBPM menjalankan pemeriksaan di seluruh negara untuk memastikan semua bangunan bertingkat yang lama masih selamat untuk didiami. Pemilik bangunan pula mesti bekerjasama dan mematuhi semua peraturan pencegahan kebakaran.

Pihak berkuasa perlu mengesahkan bahawa bahan binaan yang digunakan adalah selamat manakala peraturan berkaitan perlu dikemaskini agar sesuai dengan perubahan teknologi pembinaan dan keselamatan kebakaran.

Pihak berkuasa juga harus mengkaji semula undang-undang berkaitan bagi mewajibkan pemeriksaan keselamatan yang lebih kerap.

Langkah-langkah tersebut amat penting kerana kebakaran di Malaysia telah membunuh 107 orang dan mencederakan 477 mangsa di seluruh negara tahun lepas.

Pada tahun 2015, jumlah kematian akibat kes kebakaran adalah 153 orang manakala 467 mangsa lagi mengalami kecederaan.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, secara purata kira-kira 6,000 premis di seluruh negara dimusnahkan oleh kebakaran setiap tahun dan kira-kira 40 peratus daripadanya adalah rumah persendirian, sementara selebihnya adalah bangunan-bangunan lain seperti pejabat, kilang, sekolah dan rumah kedai.

''Kita tidak perlu menunggu sehingga insiden kebakaran KWSP berulang di Malaysia sebelum kita bertindak.

''Kita perlu memilih budaya pencegahan dan bukannya bersikap reaktif untuk menangani masalah sebegini,'' ujarnya lagi.

BACA: Bangunan KWSP Jalan Gasing terbakar