Tutup

Banjir: 121 penduduk Sungai Siput dipindahkan

Banjir: 121 penduduk Sungai Siput dipindahkan
Keadaan banjir di Kampung Lintang di Sungai Siput pagi ini. Foto ihsan APM
IPOH: Seramai 121 penduduk daripada 30 keluarga di Kampung Lintang, Sungai Siput, di sini dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat, sejak awal pagi ini.

Sehingga jam 11 pagi ini, seramai 56 orang daripada 12 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tok Sirat manakala 65 orang daripada 18 keluarga dipindah ke PPS Dewan Dato' Haji Mohamad Padil, Pekan Lintang.
"Banjir kilat berlaku disebabkan hujan lebat yang menyebabkan air Sungai Pelus melimpah ke kawasan kediaman rumah di Kampung Lintang, Sungai Siput,” kata jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sungai Siput dalam satu kenyataan.

Operasi pemindahan penduduk melibatkan 25 anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), 10 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), 15 anggota Polis Diraja Malaysia, empat anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat, seorang dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan dua penghulu.



Foto ihsan APM

Di Kampung Lintang, mangsa terdiri daripada 20 lelaki dewasa, 18 wanita dewasa, 15 kanak-kanak lelaki, lima kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan kurang upaya.

Menurutnya, keadaan cuaca ketika ini cerah, bagaimanapun, agensi terlibat seperti APM dan JBPM terus membuat pemantauan