Seramai 163 mangsa daripada 47 keluarga dipindahkan ke lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini selepas kediaman mereka ditenggelami air ekoran hujan lebat, tengah malam semalam.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Jelebu dalam kenyataan di sini berkata kesemua PPS itu melibatkan Masjid Kampung Poum, Dewan Orang Ramai Kampung Chennah, Balai Raya Kampung Juntai, Balai Raya Simpang Durian dan Masjid Kampung Jerang.

"Kesemua pusat pemindahan itu mula dibuka antara 1130 malam sehingga 4.30 pagi tadi.

"Sehingga pagi ini, keadaan paras air masih tinggi lagi. Pemantauan masih dilakukan dan cuaca semasa ketika ini adalah baik," kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Antara kampung terjejas ialah Kampung Telekong membabitkan 21 mangsa; Kampung Chennah (20); Kampung Juntai (31); Kampung Simpang Durian (54) dan Kampung Jerang (37).

-- BERNAMA