Sebanyak lapan pusat pemindahan dibuka di Kemaman dan Hulu Terengganu yang menempatkan seramai 301 orang mangsa daripada 90 keluarga, setakat 8 malam ini.

Menurut laporan banjir yang dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri (JPBN), pusat pemindahan di Balai Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Padang Kubu, Kemaman menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 105 orang daripada 28 keluarga.

Di Hulu Terengganu, Dewan Sivik Seri Putih, Kampung Tok Lawit menempatkan 64 mangsa daripada 29 keluarga; Masjid Lama Kampung Padang Kubu seramai 58 mangsa (13 keluarga) dan Balai Raya Kampung Kemat seramai 40 mangsa (14 keluarga).

Dewan Sivik Pekan Wakaf Tapai pula menempatkan seramai lapan mangsa (dua keluarga); Balai Raya Kampung Bukit Kolam seramai 12 mangsa (dua keluarga); Sekolah Kebangsaan Telok Kalong dan Balai Raya Kampung Tok Gebok masing-masing melibatkan sembilan dan lima orang mangsa sahaja.

Menurut laporan itu, kedua-dua daerah itu masih mengalami hujan renyai.

Sementara itu di negeri PAHANG, banjir kilat menyebabkan 39 orang daripada sembilan keluarga dipindahkan di daerah ini selepas rumah mereka dinaiki air berikutan hujan lebat petang tadi.

Penguasa Kanan Bomba II Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Ashrul Riezal Asbar berkata kesemua mangsa dari Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kempadang, Berjaya Permai di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Kempadang, bermula 6 petang tadi.

"Banjir disebabkan limpahan air longkang berhampiran rumah mereka," katanya di sini, malam ini.

Sementara itu, Bahagian Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran Pahang dalam kenyataan memaklumkan paras air Sungai Belat di Sri Damai di sini melepasi paras amaran iaitu 3 meter, manakala lain-lain sungai berada di aras normal.

Bagaimanapun menurut laman web Jabatan Meteorologi Pahang tempoh hujan mula berkurangan bermula 8 malam tadi.