Paras air sungai utama di Perlis, Sungai Arau yang mencatat paras bahaya iaitu 3.6 meter, menyebabkan tujuh kampung di Padang Besar dan Arau, ditenggelami banjir, sejak awal pagi Selasa.

Setakat jam 5 petang, 146 mangsa direkodkan dari 35 keluarga, termasuk 40 orang kanak-kanak.

Tinjauan Astro AWANI di Arau mendapati, ada beberapa laluan utama di daerah itu yang dinaiki air.

Selain kawasan penempatan, beberapa premis perniagaan turut terjejas.

Di Kampung Rambai, kira-kira 7.4 kilometer dari Kampung Titi Besi, mangsa banjir mengeluh berikutan terpaksa berdepan kejadian yang sama setiap kali musim hujan lebat.

“Daripada saya anak dara dulu memang dah biasa (berdepan kejadian banjir). Daripada anak dara sampai berkahwin dan beranak, memang bab banjir ni sudah tahu.

“Cuma nak minta bantuan tu takkan mereka (pihak berwajib) tak nampak (keperluan) orang kampung. (Perkara) ni selalu mereka sepatutnya sudah tahu.

“Kadang-kadang nak lintas pun tak boleh. Ni penuh air atas batas. Terputus hubungan ni. Tolonglah datang buat (uruskan), benda (masalah) ni dah lama,” kata seorang mangsa banjir di Kampung Rambai, Hamiza Othman, yang berharap hal itu dipandang serius pihak kerajaan negeri.

Hamiza berharap pihak berwajib melakukan sesuatu demi kesejahteraan penduduk. - Astro AWANI

Meskipun batu tebatan banjir telah diletakkan di tebing Sungai Arau, dua bulan lalu, namun menurut penduduk projek itu seolah tidak memberi manfaat buat mereka kerana rumah penduduk masih dinaiki air.

Dalam pada itu, di Kampung Titi Besi, penduduk berkata, rumah mereka mula dinaiki air setinggi 1 meter sejak awal pagi Selasa.

Bagaimanapun mereka hanya menyedari musibah itu, sewaktu bangun untuk menunaikan solat Subuh, pada kira-kira 5 pagi.

Ketika kami di lokasi kejadian, kelihatan perabot rumah dan tilam hanyut dibawa arus banjir yang deras.

Kata mereka, kampung itu baharu sahaja dilanda banjir pada Jumaat lepas.

“Kalau boleh, hendak minta mereka (pihak berwajib) tinjau di mana masalah banjir (bermula), air masuk (mengalir) dari mana, apa yang patut mereka buat. (Mungkin) buat perparitan.

“Waktu ni kita tak nampak, JPS pun tak nampak,” ujar salah seorang penduduk yang terjejas, Othman Mad.

Terkini, dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mangsa banjir telah dibuka melibatkan PPS Padang Besar di Masjid Banggol Sena, yang menempatkan 102 mangsa dari 23 keluarga, selain PPS Dewan Sivik Arau yang menempatkan 44 orang mangsa dari 12 keluarga.

“Keadaan dekat sini air semakin naik perlahan-lahan. Yang kita risaukan sebenarnya pada pukul 1.15 petang berlaku air pasang setinggi 3.2 meter (berdasarkan) ramalan daripada pihak Maritim,” ujar Pegawai Pertahanan Awam Daerah Arau, Kapten (PA) Aji Azri Mustari.

Berikutan itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) sentiasa bersiap siaga dan memantau mana-mana lokasi berisiko bagi mengelakkan ada mangsa terperangkap.