Lebih 50 orang melibatkan 17 keluarga di daerah Baling terpaksa dipindahkan apabila rumah mereka dinaiki air setinggi 1 meter malam tadi.

Mangsa terdiri daripada penduduk dua buah kampung iaitu Kampung Batu 9, Mukim Siong dan Kampung Seri Ketengga, yang kediaman mereka dinaiki air bermula jam 9 malam tadi.

Ketua Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling Lt Mohd Faizul Abdul Aziz berkata, air mulai naik selepas hujan tanpa henti selama lebih tiga jam, mengakibatkan paras air sungai melimpah sehingga memasuki rumah penduduk.

Katanya, pihak Pejabat Daerah Baling, APM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling telah memindahkan mangsa kerana bimbang tahap keselamatan mereka.

"Pihak kami serta Pejabat Daerah dan lain-lain agensi, bersama Penyelaras Parlimen, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), memantau dan mengambil maklum berkaitan keselamatan penduduk yang terlibat banjir kali ini.

"Kami di pihak APM dan agensi kerajaan memastikan keselamatan orang awam terjamin dan tidak berlaku musibah melibatkan kehilangan nyawa," katanya.

BACA: Fasa peralihan monsun berpotensi sebabkan banjir kilat



Tambahnya dalam satu kenyataan, antara kawasan yang terjejas banjir termasuk Kampung Bukit Sebelah, Kampung Baru Siong, Kampung Batu 60, Kampung Bendang Sera, Kampung Bawah Gunung, Kampung Pokok Sena dan Kampung Lubuk Pedati.

Sementara itu, Penyelaras Parlimen Baling, Mohd Taufik Yaacob memaklumkan kesemua mangsa kini ditempatkan di dua pusat pemindahan banjir (PPB) iaitu di Surau Kampung Seri Ketengga dan Dewan Orang Ramai Kampung Keda Batu 8.

Kesemua mangsa diberikan bantuan awal berupa selimut, tilam, bantal dan barangan makanan.

BACA: JBPM siap sedia hadapi banjir termasuk di luar jangka

JKM ditempatkan di PPB bagi memastikan mangsa terjaga dengan baik dari segi tempat tinggal, makanan dan kesihatan.

"Kami juga meninjau bersama agensi kerajaan untuk tengok keadaan tempat banjir. Ada rumah yang rosak dan sebagainya.

"Jadi, InsyaAllah kami akan panjangkan hal ini kepada Pejabat Daerah dan juga Pejabat Menteri Besar untuk kenal pasti apakah tindakan yang boleh diambil untuk membaiki kerosakan," kata Mohd Taufik.